Harga emas lepasi AS$4,000 - Utusan Malaysia

Harga emas lepasi AS$4,000

HARGA emas melonjak ke paras tertinggi baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Harga emas melepasi paras AS$4,000/auns (RM595/gram) buat kali pertama pada Rabu apabila pelabur beramai-ramai beralih kepada aset selamat, berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan mengenai penutupan kerajaan AS.

Rali dalam logam berharga itu juga berlaku selepas kebimbangan bahawa rali dalam sektor teknologi yang telah mengangkat pasaran ekuiti ke paras tertinggi yang mungkin telah melampaui batas, mencetuskan desas-desus tentang gelembung aset.

Pedagang telah mengumpul emas sepanjang tahun ini, melonjakkan harganya lebih 50 peratus sejak awal tahun di sebalik pelbagai isu termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perang perdagangan Donald Trump dan krisis geopolitik.

Daya tarik emas bertambah lagi minggu ini disebabkan kemelut politik di Perancis iaitu Perdana Menteri baharunya, Sebastien Lecarnu telah meletak jawatan.

Emas yang lama dianggap sebagai pilihan selamat dalam masa ketidaktentuan naik ke paras tertinggi AS$4,006.68 semalam, meskipun dolar AS dolar telah naik berbanding kebanyakan mata wang setara dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Penutupan beberapa bahagian kerajaan AS menambah rasa kurang senang dalam kalangan pelabur dengan data ekonomi utama, termasuk pekerjaan ditangguhkan, mengeruhkan keadaan untuk Rizab Persekutuan (Fed) AS membuat keputusan mengenai kadar faedah.

“Kenaikan harga emas telah disokong oleh peningkatan aliran masuk ke dalam (dana dagangan bursa) dan pembelian bank pusat.

“Ini termasuk permintaan kukuh dari China kerana emas mendapat manfaat daripada ketidaktentuan politik, ekonomi dan inflasi,” menurut Taylor Nugent dari National Australia Bank.

Ketika emas melonjak, pasaran ekuiti menjadi lebih lemah di Asia apabila timbul persoalan mengenai ratusan bilion dolar yang telah dilaburkan dalam kecerdasan buatan (AI).

Laporan margin keuntungan firma perisian pengkomputeran awan, Oracle yang jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan telah memberi isyarat menakutkan kepada pedagang, dengan ketiga-tiga indeks utama Wall Street jatuh ke paras merah.

“Pedagang tidak menunggu penjelasan, mereka hanya terus mula melonggarkan kedudukan mereka,” tulis Stephen Innes dari Pengurusan Aset SPI.
Pasaran Hong Kong dan Taipei antara yang paling rugi, manakala Sydney dan Singapura turut jatuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN