Harga emas dijangka terus meningkat

Harga emas dijangka terus meningkat

HARGA emas melepasi RM500 segram sejak beberapa minggu lalu dan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas dijangka terus meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang, dipacu oleh gabungan ketidaktentuan geopolitik, dasar monetari longgar oleh bank pusat utama dunia, serta peningkatan permintaan terhadap emas fizikal.

Setakat semalam, harga emas 916 bernilai RM580 segram.

Pengerusi Eksekutif Habib Jewels Sdn. Bhd. (Habib Group), Datuk Seri Meer Habib berkata, walaupun harga semasa telah mencapai paras tinggi, AS$4,376 seauns (RM 20,790.75) pada 17 Oktober, sebelum sedikit susut kepada AS$4,259 (RM 17,999) seauns hari ini, potensi pertumbuhan masih wujud berdasarkan faktor-faktor global yang menyokong permintaan terhadap logam berharga ini.

“Melihat kepada trend semasa, dengan ketidaktentuan global, kadar faedah yang dijangka terus menurun, serta permintaan tinggi daripada bank-bank pusat dunia, kami menjangkakan harga emas akan kekal kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Namun begitu, terdapat sedikit penyelarasan harga mungkin berlaku dalam jangka pendek, selari dengan pergerakan pasaran global.

“Mungkin akan ada sedikit penyelarasan, tetapi secara keseluruhan, momentum menaik dijangka berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Meer, walaupun optimis terhadap prestasi emas, syarikat itu menegaskan tumpuan utama mereka bukanlah pada spekulasi pasaran, tetapi kepada mendidik masyarakat mengenai nilai jangka panjang emas sebagai aset.

“Kami tidak mahu melakukan sebarang spekulasi terhadap trend emas.

“Apa yang penting untuk kami adalah meneruskan usaha mendidik para pembeli mengenai pelaburan serta pembelian emas yang bijak, berdasarkan nilai sebenar dan bukan semata-mata pergerakan harga jangka pendek,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun harga emas mengalami turun naik dalam jangka pendek, pelanggan memahami bahawa nilainya tetap kukuh dalam jangka masa panjang.

Katanya, permintaan terhadap emas, khususnya barang kemas dan produk pelaburan seperti dinar dan jongkong, kekal stabil.
“Beberapa faktor global dilihat sebagai pemangkin utama kepada lonjakan harga emas iaitu ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, termasuk ketegangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.

“Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang terus mencetuskan keresahan pasaran. Langkah negara-negara seperti China, Rusia, dan Turkiye yang mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dan meningkatkan rizab emas mereka.

“Selain itu, keputusan terbaharu Rizab Persekutuan AS untuk menurunkan kadar faedah, yang memberi isyarat kepada dasar pelonggaran monetari yang lebih lanjut,” katanya.

Meer berkata, kesemua faktor itu mendorong pelabur global untuk beralih kepada emas sebagai aset selamat dalam tempoh ketidaktentuan.

Ujarnya, peningkatan ketara dalam minat terhadap emas pelaburan, termasuk jongkong dan dinar, terutamanya dalam kalangan pelabur muda yang ingin mempelbagaikan aset simpanan mereka.

“Bagi mereka yang mencari emas sebagai pelaburan, kami melihat permintaan yang kukuh terhadap dinar dan jongkong emas, pada masa sama pelanggan juga masih membeli emas perhiasan untuk digayakan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kenaikan emas mungkin bersifat sementara dan didorong oleh spekulasi jangka pendek.

“Harga emas berkemungkinan akan kembali berlegar dalam jajaran RM500 hingga RM550 segram, selepas tekanan pembelian semasa mula reda.

“Kenaikan harga emas ketika ini banyak dipacu oleh permintaan mendadak daripada kumpulan pelabur tertentu yang menjangkakan keuntungan dalam masa singkat.

“Kumpulan ini membeli dalam jumlah besar ketika harga masih rendah dan akan menjual apabila harga mencecah paras tinggi bagi meraih keuntungan segera,” katanya.

Strategi ini, menurut beliau, bukanlah luar biasa dalam pasaran komoditi seperti emas, terutamanya ketika berlaku ketidaktentuan geopolitik dan dasar monetari longgar yang mencetuskan sentimen pasaran tidak menentu.

“Saya berpendapat kenaikan mendadak ini lebih banyak didorong oleh spekulasi berbanding faktor asas ekonomi jangka panjang. Selepas fasa pengambilan untung selesai, pasaran mungkin menyaksikan penyusutan semula harga ke paras yang lebih stabil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN