Golongan muda gemar lompat kerja

Golongan muda gemar lompat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI golongan muda hari ini, fenomena lompat kerja atau ‘job hopping’ bukan lagi sesuatu yang asing. 

Malah, bagi sebahagian mereka, langkah itu dianggap sebagai strategi untuk melonjakkan kerjaya dengan lebih pantas berbanding menunggu peluang kenaikan pangkat dalam satu syarikat sahaja.

Pekerja swasta, Nazim Syazwi, 24, mengakui sudah empat kali bertukar kerja dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya dipengaruhi oleh beberapa faktor yang dirasakan penting bagi masa depan kerjayanya.

“Antara sebab utama saya bertukar kerja ialah kerana mahu melihat peluang kenaikan pangkat yang jelas dan adil. Kadang-kadang dalam sesetengah syarikat, ada budaya pilih kasih dan kronisme yang menyukarkan pekerja biasa untuk naik ke jawatan lebih tinggi. 

“Selain itu, tawaran gaji lebih baik juga menjadi faktor besar yang mendorong saya untuk berpindah,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut Nazim, job hopping baginya bukan semata-mata kerana tekanan kos sara hidup, sebaliknya lebih kepada usaha mencari gaji yang lebih tinggi berdasarkan pengalaman kerja yang semakin bertambah.

“Bila kita ada pengalaman bekerja dengan beberapa syarikat, nilai diri kita di pasaran kerja pun meningkat. 

“Syarikat lain akan nampak kita lebih berpengalaman dan biasanya mereka sanggup menawarkan gaji lebih tinggi. 

“Jadi memang strategi ini lebih kepada untuk mendapatkan pulangan lebih baik daripada pengalaman yang ada,” ujarnya. 

Bagaimanapun, Nazim tidak menafikan bahawa budaya job hopping juga mempunyai cabaran tersendiri.

“Memang banyak peluang, tapi cabarannya ialah gaji yang agak perlahan untuk naik secara konsisten. Setiap kali masuk syarikat baharu, biasanya kita kena mula dari bawah semula, tak sama macam mereka yang kekal lama dalam satu syarikat dan berpeluang naik pangkat secara berperingkat. Dari sudut itu, memang ada pro dan kontra,” katanya. 

Ditanya sama ada kerap menukar kerja menjejaskan kestabilan kewangan, Nazim berkata, setakat ini dia tidak berdepan masalah besar kerana mengambil pendekatan bijak ketika tempoh menunggu kerja baharu.

“Biasanya dalam masa menunggu saya buat kerja sambilan untuk tampung kewangan. Jadi tiada masalah besar. Hubungan dengan majikan lama pun biasanya baik-baik sahaja selagi kita berhenti dengan cara profesional.

“Bagi memastikan pekerja lebih setia, saya berharap majikan dapat menilai semula beban kerja dan kadar bayaran gaji.

“Sekarang ramai pekerja rasa gaji tidak setimpal dengan beban kerja yang diberi. Kerja yang diberi terlalu banyak dan berat, tetapi gaji tidak setimpal. Kalau majikan boleh sediakan faedah lain yang setara dengan tanggungjawab, mungkin ramai akan kekal lama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nazim berpandangan kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk menstabilkan keadaan pasaran kerja.

“Saya rasa kerajaan boleh tetapkan kadar minimum gaji asas mengikut tahap pendidikan. Contohnya, lepasan SPM sekurang-kurangnya RM1,800, diploma sekurang-kurangnya RM2,500 dan ijazah sekurang-kurangnya RM3,000. 

“Dengan cara itu, pekerja muda tak perlu terlalu kerap berpindah kerja hanya untuk cari gaji lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Syahirah Salleh, 28, berkata, dalam tempoh tiga tahun bekerja, dia hanya sekali bertukar kerja.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana beberapa faktor penting seperti suasana kerja yang tidak lagi menyeronokkan, tawaran gaji yang lebih baik serta keinginan mencari peluang kerjaya yang lebih jelas untuk masa depannya.

“Bagi saya, job hopping boleh berlaku atas dua sebab. Pertama sebagai strategi untuk dapatkan gaji dan peluang yang lebih baik, dan kedua kerana tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang.

“Dalam kes saya, kedua-dua faktor itu ada peranannya,” katanya.

Beliau berharap majikan dapat mengambil kira keperluan pekerja agar mereka lebih setia dalam sesuatu organisasi.

“Kalau majikan dapat sediakan suasana kerja yang menyenangkan, peluang kenaikan pangkat yang jelas dan fleksibiliti masa, saya rasa pekerja akan lebih rasa dihargai dan cenderung untuk kekal lama,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan dan pihak berkaitan boleh membantu menstabilkan pasaran kerja dengan menyediakan program latihan kemahiran, sokongan kewangan sementara serta dasar yang menggalakkan pekerjaan tetap.

“Dengan cara itu, pekerja akan lebih yakin dan stabil dalam kerjaya masing-masing tanpa perlu terlalu kerap berpindah kerja,” jelasnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN