PETALING JAYA: Garis Panduan Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA) nasional yang dijangka dibentangkan kerajaan dalam Belanjawan 2026 tahun ini perlu adil, progresif serta tidak membebankan hos dan pihak berkuasa tempatan, kata Airbnb.
Pengarah Dasar Awam Airbnb Asia Pasifik, Mich Goh berkata, garis panduan itu seharusnya memberi kejelasan kepada industri selain membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.
“Pelaksanaan tepat pada masanya akan menyerlahkan kepimpinan Malaysia dalam memacu inovasi serta memperkukuh ekonomi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Airbnb telah memberi maklum balas secara aktif kepada kerajaan dalam merangka dasar tersebut dan komited bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri bagi mewujudkan ekosistem pelancongan yang kukuh.
Dalam pada itu, Mich menyambut baik komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan jangka panjang dan ketahanan ekonomi negara yang bakal digariskan dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini.
Menurut Laporan Oxford Economics 2025, perbelanjaan berkaitan Airbnb menyumbang RM9.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024, bersamaan kira-kira lima peratus sumbangan sektor pelancongan, selain menyokong 93,600 pekerjaan tempatan.
Mich turut mencadangkan agar Belanjawan 2026 memperkenalkan program bersasar untuk membantu rakyat Malaysia memanfaatkan platform digital, memperluas peluang keusahawanan tempatan serta menyokong pemilikan rumah.
Selain itu, Mich menggesa kerajaan memperuntukkan dana promosi destinasi, menaik taraf infrastruktur digital dan pembangunan pelancongan komuniti tempatan. – UTUSAN