PETALING JAYA: Isu keterjangkaun rumah perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober ini, dengan memperkenalkan langkah baharu yang lebih berani dan bersasar bagi merangsang semula pasaran hartanah negara.
Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group, Datuk Neoh Soo Keat berkata, antaranya ialah menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah dengan pengecualian penuh duti setem bagi hartanah berharga sehingga RM1 juta serta pembiayaan 100 peratus untuk pembeli rumah pertama.
“Langkah ini boleh memberi dorongan baharu kepada pasaran, selain membantu lebih ramai rakyat mencapai impian memiliki kediaman sendiri.
“Selain itu, semakan semula dasar pembelian hartanah strata oleh warga asing di Selangor, dengan menurunkan harga minimum daripada RM2 juta kepada RM1 juta, selaras dengan dasar di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai aspek pinjaman, Soo Keat berkata, bank disarankan mengambil kira pendapatan tidak formal dalam menilai permohonan, selain menghapuskan had pembiayaan 70 peratus untuk pinjaman rumah ketiga dan seterusnya.
“Banyak rakyat memperoleh pendapatan melalui saluran tidak formal, tetapi ia tidak diiktiraf. Jika pendapatan ini diambil kira, lebih ramai berpeluang memasuki pasaran hartanah,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan juga boleh mengurangkan beban kos pembangunan dengan menilai semula premium tukar syarat tanah, caj pembangunan dan kos sambungan utiliti.
“Pada masa sama, kelulusan pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan wajar dipercepatkan bagi menstabilkan tenaga kerja dan mengawal kos projek.
“Belanjawan 2026 seharusnya memberi isyarat jelas tentang komitmen kerajaan dalam memastikan pasaran hartanah lebih mampan, inklusif dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Pasaran hartanah negara dijangka menjadi antara tumpuan susulan cabaran berterusan yang dihadapi sektor berkenaan termasuk peningkatan kos pembinaan, kekurangan tenaga kerja dan tekanan peraturan.
Penganalisis berpendapat, masalah itu bukan sahaja menjejaskan daya saing pemaju, malah turut memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya golongan muda dan berpendapatan sederhana yang mahu memiliki rumah pertama.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga rumah di kawasan bandar utama terus meningkat, manakala tahap keterjangkauan masih menjadi kebimbangan utama.
Dalam masa sama, kelewatan projek akibat kekurangan tenaga kerja asing menambah tekanan terhadap kos keseluruhan. – UTUSAN










