SIAPA sangka minat terhadap masakan mampu membuka pintu rezeki baharu, seperti yang dibuktikan oleh pengasas jenama sambal Enakdeya, Jon Kin Chew, apabila mencatat pertumbuhan jualan sekitar 30 peratus setiap bulan, walaupun jenama itu baru beroperasi empat bulan.
Menurut Jon, pencapaian tersebut didorong oleh sokongan pelanggan restoran miliknya, Copaa KL, selain promosi dari mulut ke mulut yang berterusan, malah produk itu juga mudah dibawa dan sedia dimakan kerana pembungkusannya yang praktikal.
Beliau berkata, berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kecergasan, pandemik Covid-19 menjadi titik perubahan besar dalam kehidupannya.
“Sebelum ini saya dalam bidang sukan, tetapi apabila pandemik melanda, saya terpaksa mencari haluan baharu. Saya memang minat makanan, jadi saya beralih ke industri makanan dan minuman (F&B).
“Namun langkah itu bukan mudah. Saya pernah kehilangan seluruh pasukan termasuk cef dan konsultan sebelum memutuskan untuk menguruskan semuanya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pengalaman tersebut membuka ruang untuk mencipta sos dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan produk kekal konsisten.
“Hasrat untuk menghasilkan sambal sebenarnya sudah lama terpendam, namun saya mahu memastikan rasanya benar-benar dekat dengan cita rasa masyarakat Malaysia.
“Saya sebenarnya tidak makan pedas, tapi kerana mahu memahami selera tempatan, saya belajar tentang kepedasan dan rasa yang digemari orang Malaysia.
“Dari situ lahirlah sambal Enakdeya. Sambal bagi saya bukan sekadar pelengkap hidangan, tetapi sebahagian daripada identiti budaya tempatan,” ujarnya.
Bermula dengan modal sekitar RM1,000, Jon menghasilkan keluaran pertama dengan pembungkusan sederhana.
“Selepas menerima maklum balas positif daripada pelanggan restoran, saya melabur RM5,000 untuk pembungkusan kotak yang lebih berkualiti.
“Batch pertama memang mencabar, termasuk isu jangka hayat produk. Namun semua itu menjadi pengalaman untuk memperbaiki kualiti,” katanya.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Jon berhasrat memperkukuh jenama Enakdeya di Malaysia sebelum menembusi pasaran serantau seperti Indonesia.
“Ramai mahu cepat berjaya, tetapi bagi saya asas perlu kukuh dahulu. Pembungkusan, identiti dan kualiti mesti mantap sebelum melangkah lebih jauh,” jelasnya.
Menariknya, nama Enakdeya dipilih kerana mudah disebut dan difahami oleh semua kaum.
‘Enak’ bermaksud sedap, manakala ‘Deya’ bermaksud ini. Bila digabungkan, ‘Enak Deya’ membawa maksud ‘Ini sedap!’, menjadikannya nama yang pendek, relevan dan mudah diingat.
Sementara itu, Duta Jenama Enakdeya dan Pengurus Copaa KL, Aiman Fahizad Anuar berkata, sambal tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menawarkan profil rasa yang seimbang.
“Kalau sambal lain terus pedas, Enakdeya bermula dengan rasa masam, sedikit manis dan pedasnya datang perlahan bila dikunyah. Ramai pelanggan suka kombinasi ini.
“Maklum balas positif daripada pelanggan memberi semangat kepada kami untuk terus menambah baik produk dan kualiti,” katanya. – UTUSAN










