Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 4%-4.5% tahun depan - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 4%-4.5% tahun depan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan empat peratus hingga 4.5 peratus pada 2026, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 mengatasi banyak negara serantau yang turut merasa bahang kejutan tarif.

Katanya, pertumbuhan ini juga bersifat menyeluruh dengan isi rumah kekal berbelanja dengan yakin, pelaburan awam dan swasta terus meningkat, sektor pelancongan terus rancak, malah aktiviti pembinaan giat berjalan.

“Pada masa yang sama, kelangsungan hidup rakyat lebih terpelihara. Kadar pengangguran mencatat paras terendah dalam sedekad, inflasi kekal rendah, sementara ringgit muncul antara mata wang paling berdaya tahan di rantau ini.

“Kendatipun sistem perdagangan global kian perlahan, pengeksport kita tetap menyesuaikan diri sambil mengekalkan pekerjaan dan daya saing.

“Berbekalkan kekuatan ini, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan antara empat peratus hingga 4.8 peratus pada 2025 dan empat peratus hingga 4.5 peratus pada 2026,” katanya dalam prakata laporan Tinjauan Ekonomi 2026.

Anwar berkata, Belanjawan 2026 merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan Madani dan yang terulung di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

Katanya, ia menandakan peralihan daripada proses reformasi kepada era transformasi, melakar perjalanan dengan pemulihan segera digantikan dengan pembaharuan jangka masa panjang.

“Pelaburan strategik yang digariskan di bawah RMK13 menyantuni dua tonggak Ekonomi Madani, yakni ‘Menaikkan Siling’ potensi negara dan ‘Menaikkan Lantai’ kesejahteraan rakyat.

“Ikhtiar ini dirangka untuk memacu pertumbuhan, menjulang peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan memperkukuh modal insan anak watan,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar dalam prakata laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 berkata, defisit negara dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2026.

Beliau berkata, defisit fiskal negara telah berkurang dari 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022 kepada 4.1 peratus pada tahun lalu.

“Kerajaan kekal tekad dengan aspirasi jangka sederhana untuk mengurangkan defisit kepada tiga peratus atau lebih rendah, seperti termaktub di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].

“Usaha untuk mengukuh semula kedudukan fiskal negara kian mendesak mutakhir ini, tatkala dunia berdepan kejutan ekonomi yang semakin kerap dan menggugat kestabilan global.

Reformasi fiskal menyeluruh sedang giat dilaksanakan bagi mencapai sasaran pengurangan defisit. Inisiatif yang jelas dan terangkum ini merangkumi peluasan hasil, penyusunan semula keutamaan perbelanjaan, dan pengukuhan tatakelola melalui pemantapan perundangan,” ujarnya.

Sebagai usaha untuk meluaskan asas hasil negara, Anwar berkata, kerajaan telah memperluas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta meluncurkan e-invois bagi menutup ketirisan dan memperkukuh pematuhan cukai.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan kekal tekad untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat melalui peralihan kepada pendekatan subsidi bersasar agar pulangan ekonomi dapat diperhebat.

“Penyasaran subsidi diesel pada 2024, reformasi RON95 pada September 2025 serta penyusunan semula tarif elektrik telah menjana penjimatan berbilion ringgit, tanpa menjejaskan bantuan kepada rakyat terbanyak.

“Penjimatan ini telah disalurkan semula untuk memperkukuh pelbagai bentuk bantuan, termasuk peningkatan peruntukan kepada Kerajaan Negeri serta sektor kesihatan dan pendidikan.

“Bantuan sosial langsung turut diperluas, dengan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya setahun kepada RM15 bilion, memanfaatkan sehingga 22 juta rakyat Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN