PETALING JAYA: Dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka kekal stabil dalam masa terdekat berikutan pengurangan ketidaktentuan dasar di Washington, namun sebarang peningkatan semula dalam ketidaktentuan tersebut boleh menjejaskan nilai dolar dan mencetuskan risiko baharu kepada ekonomi serantau.
Timbalan Pengarah (Penyeliaan Fungsi dan Penyelidikan) Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Dr. Abdurohman berkata, kelemahan dolar AS pada separuh pertama tahun ini sebahagian besarnya berpunca daripada ketidaktentuan dasar domestik di AS, yang telah mengurangkan minat pelabur terhadap dolar sebagai mata wang selamat.
“Sejak Julai lalu, nilai dolar kembali stabil sejajar dengan perkembangan positif dalam dasar perdagangan dan fiskal AS, termasuk beberapa perjanjian penting dengan rakan dagang utama,” katanya dalam taklimat media ASEAN+3 secara langsung menerusi Zoom.
Abdurohman berkata, kelemahan dolar AS secara umumnya memberi manfaat kepada negara ASEAN+3 dalam jangka pendek, terutama dari sudut pembiayaan dan kestabilan kewangan.
“Nilai dolar yang rendah biasanya memperbaiki syarat pembiayaan dan memberi ruang kepada bank pusat untuk melonggarkan dasar monetari, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan sekiranya dolar terus lemah untuk tempoh yang panjang, risiko-risiko baharu boleh muncul, termasuk perpecahan kewangan global, apabila pelabur sukar mencari mata wang alternatif yang stabil sebagai penanda aras antarabangsa, peningkatan volatiliti pasaran, ekoran ketiadaan mata wang rujukan tunggal yang boleh menjamin kestabilan nilai aset global.
“Untuk menangani potensi risiko tersebut, saya menggesa pihak berkuasa serantau agar memperkukuh komunikasi dasar antara negara bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan pasaran, mempertingkat daya tahan sistem kewangan melalui pendekatan dasar yang berhati-hati dan kerjasama serantau,.
“Selain itu, perlu bersedia menghadapi ketidaktentuan luaran, termasuk turun naik pasaran yang lebih tinggi dalam landskap kewangan global yang berubah pantas.
“Penting untuk negara-negara serantau tidak leka dengan kestabilan semasa. Ketahanan ekonomi perlu terus diperkukuh agar kita tidak terdedah kepada kejutan luar yang boleh menjejaskan kemajuan yang telah dicapai,” katanya. – UTUSAN