Caruman madatori KWSP pekerja bukan warganegara bermula

Caruman madatori KWSP pekerja bukan warganegara berkuat kuasa bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula melaksanakan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia berkuat kuasa bermula gaji Oktober 2025 iaitu bagi caruman November 2025. 

Dana persaraan itu berkata, dasar baharu ini menetapkan kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing pada dua perastua daripada gaji bulanan. 

Peluasan liputan caruman ini merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia (tidak termasuk orang gaji domestik) yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia merupakan satu langkah penting bagi KWSP dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara. 

“Langkah ini menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan.

Sejak beberapa bulan yang lalu, KWSP telah menjalankan pelbagai sesi libat urus secara menyeluruh dengan kementerian dan agensi kerajaan, wakil majikan dan pekerja asing, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan dasar baharu ini berjalan lancar.

Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan, KWSP juga telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meningkatkan integrasi data dan sistem. 

“Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat secara selamat melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian melalui infrastruktur sedia ada dan prosedur yang telah dipersetujui. 

“Inisiatif ini meningkatkan kapasiti dan keberkesanan dalam melaksanakan caruman wajib bagi pekerja bukan warganegara Malaysia,” ujarnya.

KWSP berkata, majikan yang belum berdaftar dengan KWSP dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka yang boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar. 

“Pendaftaran pekerja bukan warganegara Malaysia sebagai ahli KWSP yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP. Majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat.

“Bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa. Pekerja disarankan melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.

“Majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk kepada halaman khas di laman web KWSP, Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia – KWSP Malaysia untuk maklumat lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN