PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan sedikit peningkatan dijangka bergerak dalam jajaran 1,635 hingga 1,645 mata dalam dagangan minggu ini, disokong oleh aktiviti belian terpilih dalam kalangan pelabur runcit dan institusi.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, indeks dipacu oleh minat terhadap kaunter-kaunter berkualiti serta berpotensi menawarkan dividen interim sempena berakhirnya tahun kewangan pada 30 September 2025.
Katanya, pelabur dilihat mengambil peluang untuk mengukuhkan posisi masing-masing menjelang sukuan terakhir tahun ini, khususnya dengan tumpuan kepada syarikat-syarikat berasaskan asas kukuh dan prestasi kewangan yang memberangsangkan.
“Minat pelabur semakin jelas kelihatan, khususnya apabila institusi pelaburan utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut aktif dalam pasaran. Ini dijangka memberi sokongan kepada peningkatan harga saham,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, volum urus niaga juga dijangkakan meningkat sekitar 10 peratus berbanding minggu sebelumnya, selaras dengan kemasukan semula pelabur ke dalam pasaran selepas tempoh berhati-hati sebelum ini.
“Namun begitu, pelabur asing masih dilihat berhati-hati dan belum menunjukkan komitmen besar untuk kembali ke pasaran tempatan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit dijangka terus stabil dalam jajaran RM4.20 hingga RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang minggu hadapan, memandangkan tiada pemangkin positif utama yang ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Beliau menjangkakan potensi pengukuhan ringgit kepada paras sekitar RM4.15 selepas pembentangan Bajet 2026 pada 10 Oktober depan, sekiranya Belanjawan diumumkan memberi keyakinan kepada pasaran.
“Ringgit kekal stabil berbanding dolar AS, namun mencatat pengukuhan ketara berbanding beberapa mata wang serantau, khususnya Rupiah Indonesia, menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.
Para pelabur kini menanti isyarat dasar fiskal yang lebih jelas dalam Belanjawan 2026 yang bakal mempengaruhi arah aliran ringgit dalam jangka sederhana.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran saham dijangka kekal kukuh dalam corak dagangan berhati-hati selari dengan trend global, apabila pengurus dana antarabangsa terus mengalihkan pelaburan mereka daripada pasaran bon AS ke pasaran ekuiti global.
Katanya, aliran keluar dari pasaran bon AS ini telah merangsang kemasukan dana ke dalam bursa-bursa utama dunia seperti di New York, London, Tokyo, Shanghai dan Frankfurt.
“Kesemua pasaran tersebut kini menunjukkan momentum positif, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan di luar AS.
“Namun begitu, prestasi ekonomi AS yang menunjukkan tanda-tanda kelembapan kekal menjadi faktor yang membayangi sentimen pasaran. Selain itu, ketegangan geopolitik berterusan di Timur Tengah dan Eropah Timur menambahkan lagi unsur ketidaktentuan yang menyebabkan pelabur kekal berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan,” katanya.
Dalam sektor komoditi, harga minyak mentah dunia dijangka kekal stabil dalam julat AS$60 hingga AS$65 setong, mencerminkan keseimbangan antara permintaan global yang sederhana dan bekalan yang kekal terkawal.
Sementara itu, ringgit dijangka terus menguji paras RM4.20 berbanding dolar AS, susulan kelemahan mata wang Amerika itu yang didorong oleh jangkaan perlambatan ekonomi negara tersebut menjelang akhir tahun.
“Malah, terdapat kemungkinan bahawa AS akan mengalami kemelesetan ekonomi pada 2026,” katanya.
Jelas beliau, pasaran juga menjangkakan sekurang-kurangnya satu atau dua lagi potongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) sebelum akhir 2025, dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi yang semakin tertekan akibat dasar-dasar pentadbiran Trump yang kontroversial dan dikatakan memberi kesan negatif terhadap sektor perdagangan.
“Sebagai contoh, keputusan China untuk menghentikan sepenuhnya import kacang soya dari AS dan beralih kepada Brazil telah menyebabkan kerugian besar kepada industri pertanian AS, terutamanya para peladang kacang soya, yang kini menanggung kerugian bernilai berbilion dolar.
“Dengan landskap global yang kekal tidak menentu, para pelabur disarankan untuk terus memantau perkembangan ekonomi dan geopolitik dengan teliti dalam merancang strategi pelaburan masing-masing,” katanya. -UTUSAN