LONDON: Israel didakwa terlibat dalam menyokong kumpulan pengganas anti-Hamas, Popular Forces, termasuk membekalkan senjata dan membantu operasi tempurnya melalui serangan udara.
Popular Forces, diketuai ketua bekas kumpulan perompak Yasser Abu Shahab, kini dikatakan sedang membina pengaruh untuk berperanan dalam pentadbiran Gaza selepas perang.
Menurut siasatan Unit Data dan Forensik Sky News, kumpulan itu menerima bantuan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang dibiayai Amerika Syarikat (AS), selain dibenarkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk membawa masuk wang tunai, senjata dan kenderaan ke wilayah itu.
Pakar memberi amaran sokongan Israel terhadap kumpulan itu adalah sebahagian daripada strategi ‘pecah dan perintah’, sama seperti sokongan tidak langsung Tel Aviv terhadap Hamas suatu ketika dahulu bagi menyaingi Fatah.
Pasukan penyiasat Sky News memantau kegiatan Abu Shahab serta anggota kumpulan tersebut selama beberapa bulan, dan mendapati ia beroperasi dari kawasan selatan Gaza, lengkap dengan bekalan makanan, kemudahan kesihatan, sekolah dan sebuah masjid, menurut laporan itu.
Kira-kira 1,500 orang kini tinggal di pangkalan Popular Forces termasuk 500 hingga 700 pejuang, yang kebanyakannya direkrut dalam beberapa minggu kebelakangan ini sebagai sebahagian daripada pengambilan baharu.
Laporan itu mendakwa, kumpulan itu secara keseluruhan bersama sekutunya memiliki sekitar 3,000 anggota di seluruh Gaza.
Pangkalan berkenaan terletak di laluan yang digunakan trak bantuan kemanusiaan untuk memasuki wilayah Gaza melalui lintasan Kerem Shalom, sekali gus memberi akses kepada kumpulan tersebut untuk merampas bekalan.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada November tahun lalu menyatakan Abu Shahab dan kumpulannya merupakan pihak paling berpengaruh di sebalik kegiatan rompakan besar-besaran konvoi bantuan.
Ia turut mendakwa, sumber kewangan utama kumpulan tersebut adalah penyeludupan rokok, selepas Israel mengharamkan kemasukan tembakau ke Gaza, menyebabkan harga sebatang rokok mencecah AS$20 (RM84) di pasaran gelap.
Seorang anggota IDF yang enggan dikenali turut mengesahkan kepada Sky News berhubung tentera Israel membekalkan senjata kepada Abu Shahab dan kumpulannya.
“Israel membantunya. Mereka beri bom tangan, duit, kenderaan, makanan dan semua jenis bantuan,” dakwanya.
Siasatan Sky News turut menemukan bukti wujudnya kerjasama rapat antara kumpulan itu dengan Tentera Udara Israel dalam operasi menentang Hamas, termasuk pada April lalu di selatan Rafah.










