BPMB teraju lebih RM9 bilion mandat Belanjawan 2026

BPMB teraju lebih RM9 bilion mandat Belanjawan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), bersama anak syarikatnya, SME Bank dan EXIM Bank diamanahkan kerajaan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif strategik berjumlah lebih RM9 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi memacu transformasi ekonomi negara seiring dengan visi Ekonomi Madani.

Mandat tersebut mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan Kumpulan BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan bersepadu negara dalam menyediakan pembiayaan berimpak tinggi, memperkukuh eksport serta memajukan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

Ia juga menandakan peranan penting kumpulan itu dalam menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada keseimbangan antara pengukuhan fiskal dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menurut kenyataan, selaras dengan pelan pembangunan nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Dasar Semikonduktor Negara dan Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga, Kumpulan BPMB komited membina ekosistem kewangan pembangunan yang menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi lebih inovatif, berdaya tahan dan mampan.

“BPMB akan menerajui pelbagai program pembiayaan baharu bagi merangsang pertumbuhan sektor berimpak tinggi yang selaras dengan agenda nasional. 

“Antaranya termasuk Program Pembiayaan Semikonduktor bernilai RM500 juta bagi menyokong penyertaan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global di bawah Dasar Semikonduktor Negara,” katanya.

Selain itu, BPMB berkata, Program Pembangunan Madani dengan dana RM3 bilion akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur awam, utiliti, infrastruktur sosial serta aset keselamatan negara selaras dengan keutamaan RMK13. 

“Turut diperkenalkan ialah Program Pembaharuan Bandar dan Pelancongan bernilai RM1 bilion yang bertujuan menggiatkan semula kawasan bandar dan sektor pelancongan bagi merancakkan aktiviti ekonomi domestik.

“Mandat baharu ini melengkapi program sedia ada BPMB yang berjumlah lebih RM2 bilion dalam sektor seperti pengangkutan dan logistik, tenaga boleh diperbaharui, pembangunan ekonomi Bumiputera, infrastruktur digital dan akses modal,” katanya. 

Sementara itu, SME Bank akan memperkukuh ekosistem PMKS melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi meningkatkan daya saing serta inovasi perusahaan tempatan. 

“Antara inisiatif baharu termasuk Skim Pemacu Koperasi bernilai RM100 juta bagi menyediakan pembiayaan aset dan modal kerja kepada koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Melalui Dana Induk Payung sebanyak RM200 juta, SME Bank menyasarkan PKS berpotensi tinggi untuk berkembang sebagai francaisor, pemberi lesen atau anchor bagi membentuk ekosistem keusahawanan baharu. 

“Dalam pada itu, Technology Adoption Fund bernilai RM300 juta diwujudkan bagi mempercepat adaptasi teknologi pintar dan digitalisasi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×