KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 berjaya mengimbangi antara disiplin fiskal dan pertumbuhan ekonomi, mencerminkan kepimpinan kerajaan dalam merancakkan ekonomi melalui tadbir urus yang kukuh dan strategi yang disasarkan.
Ini sekali gus mengekalkan momentum pengembangan dalam negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank (HLB), Kevin Lam berkata, ini menandakan tahun kelima berturut-turut penambahbaikan fiskal, sekali gus membawa negara lebih hampir kepada sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Ini dilihat langkah penting dalam meneruskan agenda pemulihan ekonomi pasca pandemik, di samping memperkukuh kedudukan fiskal negara melalui rasionalisasi perbelanjaan, pembaharuan subsidi dan perluasan asas hasil negara.
“Konsolidasi fiskal Malaysia kekal berada di landasan yang kukuh, dengan defisit dijangka mengecil kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.
“Ini dilihat selaras dengan matlamat jangka sederhana yang digariskan dalam RMK-13,” katanya dalam ucapan pada meja bulat pasca Belanjawan 2026 di sini, semalam.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk hala tuju pertumbuhan KDNK, pengurusan inflasi, reformasi fiskal dan strategi pendigitalan.
HLB menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar berada dalam julat 4.0 peratus hingga 4.5 peratus bagi 2026, manakala kadar inflasi dijangka kekal stabil sekitar 2.0 peratus.
Menurut Kevin, Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pengurusan fiskal yang berhemah dan reformasi struktur yang menyeluruh.
“Penekanan terhadap pengembangan asas hasil negara, rasionalisasi subsidi dan galakan kepada pelaburan sektor swasta akan mengukuhkan asas ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.
HLB turut menegaskan komitmennya dalam menyokong usaha transformasi ekonomi negara melalui kerjasama awam-swasta, pemerkasaan digital dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Inisiatif seperti program GEAR-uP dan projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dilihat mampu mempercepatkan pelaburan domestik dan penciptaan pekerjaan.
“Dengan landskap ekonomi global yang masih mencabar, HLB melihat Belanjawan 2026 sebagai asas yang kukuh untuk pertumbuhan inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Antara panel jemputan termasuk Profesor Adjung Universiti Taylor’s, Prof. Dr. Ong Kian Ming, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng, Rakan kongsi cukai PwC Malaysia, Ang Wei Liang serta Pengurus Besar Penyelidikan Pendapatan Tetap dan Ekonomi HLB, Choong Yin Pheng.
Majlis tersebut turut menghimpunkan pembuat dasar, pakar industri dan pakar ekonomi untuk membincangkan kesan belanjawan terhadap prospek makroekonomi serta landskap perniagaan negara.
Sesi itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan HLB dalam menyediakan nilai tambah kepada pelanggan melalui perkongsian maklumat pasaran, pakar industri dan strategi kewangan yang relevan. – UTUSAN










