AmanahRaya REIT fokus laksana transformasi strategik

AmanahRaya REIT fokus laksana transformasi strategik

MOHD ISKANDAR DZULKARNIAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmanahRaya Real Estate Investment Trust (ARREIT), sebuah amanah pelaburan hartanah (REIT) yang tersenarai di Bursa Malaysia melaksanakan fasa baharu transformasi strategik. 

Pengarah Urusan, AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM), Datuk Mohd. Iskandar Dzulkarnain berkata, berteraskan Pelan Strategik 2025–2028, ARREIT komited untuk memperkukuh daya tahan, meningkatkan daya saing dan memastikan kelestarian dalam menghadapi lanskap pasaran hartanah yang semakin mencabar.

“Transformasi ini bertujuan menjadikan ARREIT lebih kompetitif dan mampan, dengan penekanan kepada penyusunan semula portfolio, peningkatan kualiti aset serta pemfokusan kepada sektor-sektor pertumbuhan tinggi seperti industri dan pendidikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, transformasi ARREIT digerakkan oleh lima teras utama iaitu tadbir urus, pertumbuhan perniagaan mampan, pembangunan modal insan, pendigitalan proses serta pengurusan kewangan berhemat. 

“Pendekatan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan sambil mencipta nilai mampan untuk pemegang unit dalam jangka panjang,” katanya. 

Di bawah strategi baharu ini, ARREIT mengubah pendekatan pengurusannya daripada pasif kepada pengurusan aktif dan proaktif, melalui pelaksanaan ‘portfolio reshuffling plan’ yang lebih dinamik. 

“Inisiatif utama termasuk penilaian aset secara berterusan berdasarkan data pasaran semasa, pelaksanaan Asset Enhancement Initiatives (AEI), pelupusan aset yang kurang berprestasi serta pemerolehan aset strategik yang sejajar dengan tiga tonggak utama portfolio.

“Kami turut menumpukan kepada pengoptimuman kos operasi, pemeliharaan penyewa berkualiti dan pemodenan sistem kerja menerusi transformasi digital,” katanya.

Mengakui proses transformasi berdepan pelbagai cabaran, Mohd. Iskandar menegaskan, sebarang perubahan mesti dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aliran pendapatan sedia ada tidak terjejas. 

Katanya, strategi AEI dan perancangan teliti telah membolehkan ARREIT melaksanakan pemulihan portfolio dengan kesan yang optimum.

Sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh pendedahan kepada sektor industri, ARREIT baru-baru ini memperoleh sebuah kilang berkembar satu tingkat di Telok Panglima Garang, Selangor. 

Jelasnya, aset ini diperoleh menerusi perjanjian jual dan pajak semula bersama Alpha Express Sdn. Bhd., yang akan terus beroperasi di premis tersebut menerusi pajakan induk jangka panjang.

“Langkah ini bukan sahaja menjamin aliran pendapatan stabil sejak hari pertama, malah mengukuhkan kehadiran ARREIT dalam sektor industri yang lebih defensif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN