AKTIVITI pemerolehan dana dalam pasaran modal domestik kekal kukuh yang menunjukkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi negara serta pengembangan sektor swasta, menurut Tinjauan Ekonomi.
Laporan itu berkata, pasaran kekal berdaya tahan apabila syarikat giat memanfaatkan pasaran ekuiti dan bon untuk membiayai pertumbuhan perniagaan, projek infrastruktur serta pelaburan strategik meskipun berdepan ketidaktentuan global.
“Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025, pemerolehan dana sektor swasta meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM75.9 bilion dengan jumlah dana kasar yang diperoleh daripada pasaran ekuiti melonjak sebanyak 29 peratus kepada RM4.3 bilion.
“Sebaliknya, pemerolehan dana sektor awam menyusut sebanyak 7.7 peratus kepada RM102.4 bilion sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal.
“Secara keseluruhan, jumlah dana kasar yang dikumpul dalam pasaran modal merekodkan pengurangan sebanyak 1.5 peratus kepada RM178.4 bilion,” katanya dalam laporan itu.
Menurut laporan itu, Bon korporat terus berfungsi sebagai saluran pembiayaan yang lebih fleksibel berbanding pinjaman bank tradisional sekali gus menyokong keperluan pengembangan perniagaan dan pelaburan.
“Instrumen tersebut turut membantu mempelbagaikan sumber pembiayaan, mengurangkan kos modal serta mengagihkan risiko kepada pangkalan pelabur yang lebih luas. Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025, terbitan bon korporat meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada RM71.7 bilion dengan nota jangka pertengahan merangkumi 96.7 peratus daripada jumlah terbitan.
“Aktiviti pembiayaan diterajui oleh sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang menyumbang secara kolektif sebanyak 77.3 peratus daripada terbitan baharu. Hasil terbitan terutamanya disalurkan untuk modal kerja, usaha niaga baharu, pembiayaan semula serta keperluan korporat lain,” katanya.
Pasaran ekuiti kekal rancak disokong oleh projek strategik baharu dan sedia ada yang dipacu oleh inisiatif Kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di samping pelaburan swasta dalam pusat data dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pemerolehan dana melalui tawaran awam permulaan (IPO) turut digerakkan oleh inisiatif peluasan perniagaan dengan RM4.3 bilion berjaya dikumpul menerusi 38 penyenaraian baharu di Bursa Malaysia bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025 merentas pelbagai sektor.
Prestasi kukuh ini turut disokong oleh program jangkauan Bursa Malaysia serta penambahbaikan peraturan yang diperkenalkan.
Komitmen untuk mempercepat kelulusan IPO dalam tempoh tiga bulan telah berjaya menarik syarikat berkualiti ke dalam pasaran.
Namun begitu, risiko luaran termasuk ketidakpastian tarif AS dan ketegangan geopolitik berpotensi memberikan kesan terhadap pasaran IPO.
Dalam pada itu, aktiviti pemerolehan dana sektor awam telah menyusut dalam tempoh yang sama dengan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berkurang sebanyak 13.7 peratus kepada RM47.6 bilion manakala Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) mencatat penurunan sebanyak 1.7 peratus kepada RM54.8 bilion.
“Penurunan ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal dengan terbitan diselaraskan untuk memenuhi strategi pembiayaan yang dirancang.
“Pengurusan hutang berhemah dijangka meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan menggalakkan kestabilan pasaran.
“Secara keseluruhan, kestabilan dan daya tarikan pasaran hutang Malaysia terus disokong oleh penglibatan pelabur institusi yang kukuh serta kecairan pasaran sekunder yang mencukupi,” katanya.
Penurunan kadar faedah oleh Fed berpotensi menggalakkan permintaan terhadap MGS dengan jurang kadar faedah yang semakin mengecil mengukuhkan keyakinan terhadap struktur dan kecairan sekuriti kerajaan.
Pada masa yang sama, langkah konsolidasi fiskal dijangka akan mengurangkan terbitan bersih MGS dan MGII.
“Walau bagaimanapun, penawaran bon korporat dijangka meningkat berikutan persekitaran kadar faedah yang rendah seterusnya menggalakkan syarikat untuk memanfaatkan pasaran bon sebagai sumber pembiayaan,” katanya.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025, pasaran MGS mencatatkan keuntungan daripada penurunan kadar hasil menyeluruh merentas semua tempoh matang.
Trend ini didorong oleh permintaan asing yang berterusan apabila pelabur mencari pulangan stabil di pasaran hutang Asia dalam keadaan ketidaktentuan global.
Jangkaan pertumbuhan global yang perlahan, pemotongan kadar faedah oleh Fed serta kelemahan dolar AS turut meningkatkan minat terhadap aset berpendapatan tetap sekali gus menambah tarikan untuk mengunci pulangan kadar hasil yang menarik.
Pelabur juga berpeluang meraih keuntungan modal apabila harga bon meningkat dalam persekitaran penurunan kadar hasil.-UTUSAN