KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan penting dalam merombak amalan tradisional pengurusan perubahan di sektor awam dan swasta.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, AI menjadi pemacu utama perubahan dengan memerlukan organisasi untuk menilai semula aliran kerja, merangka semula peranan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“AI juga menjadi pemudah cara yang berkuasa dalam memberi ramalan berasaskan data, mengautomasikan tugasan rutin dan menyesuaikan komunikasi bagi memperkukuh penglibatan warga kerja.
“Namun, kejayaan dalam penerimaan AI tidak terletak pada pelaksanaan teknologi semata-mata. Ia menuntut kepimpinan yang berwawasan untuk menangani isu kepercayaan, etika dan ketelusan di samping memupuk budaya organisasi yang cekap berasaskan data dan terbuka terhadap pembelajaran berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikain dalam ucaptama Majls Pelancaran Persidangan Pengurusan Perubahan ASEAN ke-2 (ACMC 2025) di Bangsar hari ini.
Menurut beliau, penerapan AI dilihat sebagai keutamaan negara dan juga satu disiplin organisasi.
Katanya, pendekatan ini memerlukan pengintegrasian AI secara bertanggungjawab dalam perjalanan transformasi digital negara, sambil memastikan tiada pihak yang tercicir.
“Pengurus perubahan hari ini memiliki peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk memanfaatkan AI bukan sahaja dalam mempercepat proses membuat keputusan tetapi juga dalam memperibadikan latihan, memperkukuh maklum balas berterusan dan mengukur impak secara masa nyata,” katanya.
Namun begitu, Wilson turut menegaskan penggunaan AI harus dilengkapi dengan pertimbangan manusia, pertimbangan yang bersifat empati, kreatif dan berasaskan nilai.
“Apabila kecerdasan manusia dan mesin digabungkan secara harmoni, perubahan bukan sahaja dapat diurus dengan lebih berkesan, malah dapat digandakan, diperluas dan dikekalkan dalam jangka panjang.
“Perkembangan ini memperlihatkan bahawa pengurusan perubahan kini memasuki era baharu iaitu teknologi dan nilai kemanusiaan bergerak seiring dalam membentuk masa depan ekonomi digital negara,” katanya.
ACMC 2025 bertemakan ‘Memacu hasil, melaksana perubahan dengan cemerlang!’, edisi kali kedua ini memberi tumpuan kepada penyelesaian praktikal yang direka khas untuk cabaran unik ASEAN, membantu pemimpin melaksanakan perubahan yang benar-benar membawa impak yang terukur.
Lebih 500 peserta terlibat dalam persidangan selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober. – UTUSAN