Yayasan Waqaf Malaysia diiktiraf APEA 2025

Yayasan Waqaf Malaysia diiktiraf APEA 2025

RIDZWAN Bakar (kiri) menerima anugerah Jenama Inspirasi di Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025 bagi pihak YWM di Singapura baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) diiktiraf sebagai Jenama Inspirasi di Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa sebagai peneraju inovasi wakaf di Malaysia.

Majlis pengiktirafan berprestij ini diadakan di The ​​Sands Expo & Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura pada 5 September 2025.

Pengiktirafan tersebut merupakan bukti komitmen YWM sebagai entiti wakaf kebangsaan yang sentiasa memperkasa peranan wakaf dalam membina kesejahteraan masyarakat, mengukuhkan ekonomi ummah serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar berkata, pengiktirafan ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi negara. 

“YWM akan terus melangkah ke hadapan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab wakaf terkemuka dunia dan usaha ini perlu mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penganugerahan ini turut disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Ismail Mohamad Bkri.

Anugerah APEA 2025 ini bukan sahaja mengiktiraf YWM sebagai jenama inspirasi di rantau Asia Pasifik, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai model unggul dalam mengangkat wakaf ke peringkat global.

Kejayaan ini seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan nilai kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan. 

Melalui inisiatif berterusan di bawah Pelan Al-Falah, YWM bukan sahaja mengurus wakaf sebagai instrumen kewangan Islam, tetapi juga memanfaatkannya dalam bidang pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pemeliharaan persekitaran dan pembangunan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN