PUTRAJAYA: We Best Sdn. Bhd. melancarkan projek kediaman terbaharunya, Amai Residence di Shaftsbury, di sini dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) lebih RM300 juta.
Projek dua blok itu bukan sahaja memberi pilihan perumahan mampu milik di kawasan premium, malah selari dengan agenda kerajaan dalam memperkukuhkan pertumbuhan hartanah dan ekonomi di Putrajaya.
Pengarah We Best, Calvin Chan berkata, Amai Residence merupakan projek pertama syarikat di Lembah Klang selepas lebih 30 tahun tertumpu di Melaka.
“Projek baharu ini adalah bukti komitmen syarikat menyediakan kediaman berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
“Walaupun baru dilancarkan hari ini, projek Amai Residence telah lebih 50 peratus terjual dan kami yakin akan terus mendapat sambutan kerana harganya yang berpatutan dan lokasi yang strategik,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Amai Residence, hari ini.
Amai Residence terdiri daripada tiga kategori iaitu Rumah SelangorKu pada harga RM240,000, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) (Arm300,000) dan unit terbuka pada harga bermula RM380,000.
Walaupun terdqpat kategori berbeza, semua unit mempunyai keluasan yang sama iaitu 1,000 kaki persegi.
Unit terbuka didatangkan dengan kabinet dapur, pendingin hawa dan pemanas air yang merupakan nilai tambah projek tersebut.
Dalam pada itu, Calvin turut optimis dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, Putrajaya akan terus berkembang sebagai sebuah bandar pintar dan bandar hijau di Malaysia.
“Pada masa sama, ia mampu menyokong pertumbuhanekonomi tempatan, meningkatkan kualiti hidup penduduk dan menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang seimbang.
“Amai Residence juga disasarkan kepada pelbagai golongan, terutamanya penjawat awam yang berkhidmat di Putrajaya, pembeli rumah pertama, pelabur hartanah, serta individu yang tinggal atau bekerja di kawasan sekitarnya seperti Cyberjaya, Dengkil, Bangi, Sepang dan kawasan berdekatan.
“Kedudukan strategik serta akses mudah ke kolej, hospital, pusat beli-belah dan kemudahan awam lain, membuatkan projek ini diyakini mampu menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari kediaman dengan gabungan kemampuan, keselesaan dan gaya hidup moden,” ujarnya. – UTUSAN