Tras sedia platform pembiayaan automotif digital pertama

Tras sedia platform pembiayaan automotif digital pertama di Malaysia

SYED Faisal Albar (tengah) bersama Kazrin Khairul Anuar (dua dari kanan) dan Akkbar Danial (kanan) pada Majlis Pelancaran Tras Digital Touchpoint di sini, semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tras, platform penyelesaian kewangan automotif bersepadu digital pertama Malaysia menyediakan pembeli kereta dan pengedar kereta satu kaedah yang mudah, pantas dan selamat untuk mendapatkan pembiayaan kenderaan.

Platform ini menghubungkan pelanggan, pengedar kereta dan bank dalam satu ekosistem digital, membolehkan pelanggan membuat permohonan pembiayaan daripada pelbagai bank rakan kongsi secara fleksibel serta mendapatkan tawaran dengan pantas melalui satu platform sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif EON Capital Sdn. Bhd., Kazrin Khairul Anuar berkata, Tras menjadi platform penyelesaian kewangan automotif dengan memudahkan perjalanan pelanggan dan menyediakan alat yang betul untuk membuat keputusan yang lebih bijak. 

“Dengan Tras, pelanggan kami akan memandu pulang dengan produk yang sesuai, tawaran yang terbaik dan sokongan yang tepat mengikut keperluan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Tras di Menara KEN, Taman Tun Dr. Ismail. 

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar. 

Selain itu, Kazrin berkata, sebagai tawaran pengenalan, Tras menawarkan kadar istimewa serendah 1.79 peratus bagi pembelian kereta terpilih melalui permohonan pembiayaan di platform ini. 

“Kami juga menawarkan diskaun eksklusif 10 peratus untuk Program Waranti Lanjutan bagi model bukan kenderaan elektrik (EV) keluaran Proton serta model Mitsubishi, Audi dan Volkswagen yang dibeli melalui pengedar EON. 

“Promosi istimewa ini akan berlangsung sehingga 16 September 2025. Sepanjang tempoh kempen ini, kami menjamin keputusan permohonan pinjaman dalam masa 24 jam selepas dokumen dihantar. Jika tiada maklum balas dalam tempoh tersebut, pelanggan akan menerima pampasan e-dompet TNG bernilai RM50,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, Tras kini membuka peluang lebih luas kepada pengguna luar bandar untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan kereta secara atas talian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada ejen atau pengedar tradisional.

Katanya, platform itu direka bukan sahaja untuk pengguna bandar seperti di Lembah Klang, tetapi juga untuk mereka yang berada di kawasan pedalaman seperti Kuala Krai, Kelantan dan Setiu, Terengganu.

“Kami sedar tidak semua pelanggan berasa selesa membuat permohonan pembiayaan sendiri secara digital. Sebab itu kami menyediakan dua cara secara langsung oleh pengguna (B2C) dan melalui pengedar kenderaan (B2B). Kami turut menyepadukan sistem kami dengan sistem pengedar supaya proses menjadi lebih mudah dan efisien,” katanya. 

Beliau menjelaskan, berdasarkan tinjauan awal menunjukkan bahawa minat terhadap pembelian kereta secara dalam talian bukan hanya tertumpu di bandar besar. 

“Ramai orang di luar bandar juga mempunyai impian memiliki kereta idaman. Tetapi dengan pilihan pengedar yang terhad, mereka kekurangan akses kepada pakej pembiayaan yang kompetitif. Tras menjadi penyelesaian kepada jurang ini,” katanya.

Melalui kerjasama dengan tiga bank berlesen di Malaysia iaitu Bank Muamalat, AmBank dan Maybank pada peringkat awal, pelanggan boleh memohon pembiayaan kepada ketiga-tiga bank tersebut serentak pada kadar yang kompetitif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN