PETALING JAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) menganjurkan program perintis Summer School for Energy Regulators pertama di ASEAN bagi memperkukuh kerjasama dan pembangunan kapasiti serantau.
Program perintis lima hari itu berlangsung di Petronas Leadership Centre, Selangor dari 22 hingga 26 September menghimpunkan 35 pegawai profesional daripada badan kawal selia dan utiliti seluruh negara ASEAN termasuk Timor-Leste.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, program ini selari dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan dalam membina kapasiti pengawalseliaan serantau.
“Summer School ini adalah platform strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama pengawal selia tenaga ASEAN sekali gus mempercepat pembangunan ASEAN Power Grid dan membuka ruang pasaran elektrik serantau yang lebih kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif ini merangkumi kelas bersama pakar bidang, kajian kes, kerja berkumpulan interaktif serta lawatan tapak dengan fokus kepada perdagangan tenaga rentas sempadan, integrasi pasaran, penggunaan tenaga boleh baharu dan penyelarasan kawal selia di rantau ASEAN.
Program ini berasaskan model Summer School on Regulation yang dianjurkan setiap tahun di Florence, Itali.
Ia dilaksanakan dengan kerjasama Southeast Asia Energy Transition Partnership (ETP), United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) serta sokongan Florence School of Regulation (FSR), European University Institute, ASEAN Secretariat (ASEC) dan ASEAN Centre for Energy (ACE).
ST menekankan komitmennya dalam memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan pihak berkuasa tenaga serta utiliti ASEAN mempunyai keupayaan untuk memacu masa depan tenaga yang selamat, lestari dan inklusif. – UTUSAN