Sijil halal lonjak pemasaran global Pisango

Sijil halal lonjak pemasaran global Pisango

CHE Puan Juhaida Muda ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula daripada idea untuk memodenkan snek tradisional, Pisango Sdn. Bhd. kini mengorak langkah lebih jauh dengan menembusi pasaran antarabangsa menerusi rangkaian produk berasaskan pisang yang menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pemiliknya, Che Puan Juhaida Muda berkata, jenama utama syarikat itu, Pisango mula beroperasi pada November 2022 dengan memfokuskan pengeluaran produk pisang dalam bentuk sejuk beku.

“Di bawah Pisango, kami mengeluarkan pelbagai produk seperti pisang goreng sejuk beku, banana fries, donat pisang, pisang salai dan kerepek pisang.

“Syarikat kami kini baru memasuki tahun ketiga operasi dan turut mempunyai anak syarikat, Cookies Most Wanted (CMW), bagi mengukuhkan rangkaian perniagaan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025. 

Menurut Juhaida, kejayaan memperoleh pensijilan halal daripada Jakim pada 1 Januari 2023 menjadi pemangkin penting kepada perkembangan perniagaannya.

“Kami hantar permohonan lebih awal dengan dokumen lengkap. Kebetulan pada 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan usaha mempercepatkan kelulusan halal dan dalam tempoh sebulan kami berjaya mendapat sijil.

“Proses mendapatkan sijil memerlukan pematuhan menyeluruh terhadap dokumentasi dan piawaian termasuk audit kilang oleh pegawai halal bagi memastikan operasi mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Pisango kini sedang dalam proses memperbaharui pensijilan halal menjelang tarikh tamat tempoh pada tahun depan,” ujarnya. 

Tambah beliau, sijil halal bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi faktor penentu dalam membina keyakinan pelanggan dan memudahkan kemasukan produk ke pasaran lebih luas.

“Halal ini bukan hanya melibatkan status halal bahan mentah, tetapi merangkumi kebersihan, prosedur pengeluaran dan keseluruhan sistem yang mematuhi prinsip halalan tayyiban. Ini memberi nilai tambah kepada jenama. 

“Selepas memperoleh pensijilan halal Jakim, penerimaan terhadap produk Pisango meningkat secara mendadak kerana syarikat-syarikat dan pembeli lebih yakin terhadap kualiti yang ditawarkan.

“Apabila kita ada halal, kita tidak perlu lagi bersusah payah mencari pembeli. Mereka sendiri yang datang kerana halal kini menjadi fokus utama pasaran,” tambahnya.

Juhaida mengakui cabaran utama ketika memohon pensijilan halal adalah tempoh proses yang panjang berikutan kekurangan juruaudit pada ketika itu.

“Pada awalnya kami terpaksa menunggu lama untuk audit. Namun kini kerajaan menambah jumlah juruaudit bagi mempercepatkan proses, sesuatu yang membantu usahawan kecil seperti kami,” katanya.

Dengan pensijilan halal Jakim sebagai ‘pasport’, Pisango kini berjaya mengeksport produk ke China, Vietnam dan Jepun. 

“Syarikat juga merancang untuk memperluaskan pasaran ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Permintaan produk halal semakin meningkat, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam tetapi juga pengguna bukan Islam yang melihat halal sebagai jaminan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN