PETALING JAYA: Scanfil, syarikat pembuatan elektronik tersenarai terbesar di Eropah, melabur sebanyak RM15.8 juta bagi memperluas dan memodenkan fasiliti SRX Global (Malaysia) Sdn. Bhd. di Johor Bahru.
Naik taraf tersebut meningkatkan kapasiti pengeluaran hampir 50 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor Bahru sebagai hab elektronik strategik di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan itu adalah langkah penting dalam memajukan sektor pembuatan bernilai tinggi di Malaysia.
“MIDA mengalu-alukan peluasan dan pemodenan Scanfil di Johor Bahru yang bakal menarik teknologi maju, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh inovasi dan kelestarian dalam rantaian bekalan elektronik.
“Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam bidang elektronik dan semikonduktor serta membina daya tahan jangka panjang dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan.
Pelaburan itu turut memperkukuh operasi Scanfil di Asia Pasifik yang merangkumi kemudahan SRX Global di Melbourne, Australia.
Sebelum pengembangan ini, fasiliti di Malaysia beroperasi dengan empat barisan pemasangan SMT automatik serta 170 pekerja, membentuk asas kukuh bagi pertumbuhan masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Scanfil, Christophe Sut berkata, persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia menjadi faktor utama komitmen syarikat untuk membangunkan operasi jangka panjang di Johor Bahru.
“Kami melihat peluang besar khususnya daripada pelanggan dalam sektor perindustrian, teknologi perubatan dan sains hayat,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Finland di Malaysia, Maiju Lepomaki berkata, pelaburan itu mencerminkan hubungan erat Finland-Malaysia serta keyakinan terhadap persekitaran perniagaan positif di Malaysia.
Peluasan dan pemodenan bernilai jutaan ringgit ini membawa penambahbaikan ketara kepada operasi SRX Global Johor Bahru termasuk, peningkatan kawasan pengeluaran hampir 50 peratus, penyediaan kemudahan pembuatan sehenti, merangkumi pemasangan elektronik serta pembinaan kotak kompleks.
Selain itu, ia turut merangkumi keupayaan untuk menambah tenaga kerja melebihi 170 orang sedia ada selaras dengan peningkatan permintaan dan reka bentuk fasiliti berteknologi tinggi yang sejajar dengan program Dream Factory SRX Global & Scanfil, bagi memacu integrasi data, pengoptimuman proses dan automasi canggih. – UTUSAN