Satay Sedap Sikamat jual 5,000 cucuk sehari

Satay Sedap Sikamat jual 5,000 cucuk sehari

SATAY Sedap Sikamat menjual pelbagai jenis sate iaitu ayam, daging, kambing dan perut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan menjual sate di hadapan rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2019, kini usahawan Satay Sedap Sikamat, Nurul Ramly, 34, berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga memiliki premis sendiri di Temiang Point, Sikamat, Seremban.

Ketika PKP penuh dilaksanakan, dia mengambil inisiatif menghantar sate terus ke rumah pelanggan.

“Dengan bermodalkan RM200 dan menjual 50 cucuk sate pada hari pertama, saya perlahan-lahan membina kepercayaan pelanggan di sekitar kawasan Sikamat.

“Saya mula menjalankan perniagaan depan rumah selama setahun. Pada waktu itu, orang ramai tidak boleh keluar langsung, jadi saya cari peluang untuk menghantar sate dari rumah ke rumah.

“Dari situ, saya mula mengumpul pelanggan tetap dan kini saya menjual 5,000 cucuk sehari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memaklumkan, dia menggunakan resipi sate tradisi keluarga dan kini, Satay Sedap Sikamat mempunyai lebih 18 orang kakitangan.

“Saya menjual sate dengan mengekalkan resipi tradisi keluarga, malah kualitinya dijaga rapi.

“Malah, sehingga kini ibu saya sendiri masih membantu mengawal proses bancuhan sate dan kuah.

“Walaupun melibatkan bancuhan sebanyak 50 kilogram (kg) kuah serta 200 kg sate mentah setiap hari, bancuhan tetap dibancuh secara berperingkat bagi memastikan rasa kekal konsisten,” katanya.

Nurul berkata, dia menjual sate pada harga RM1.20 untuk ayam, RM1.60 (daging), RM1.80 (kambing) dan RM1.20 (perut).

Selain sate, Nurul turut menyediakan nasi lemak dan menu barat seperti pasta, Chicken Chop dan beberapa menu lain.

Sebelum ini, Nurul menyewa sebuah rumah kedai di Temiang selama lima tahun, bagaimanapun dengan jumlah pelanggan yang semakin ramai memaksa dia mencari lokasi baharu yang lebih besar.

“Kini, saya menjalankan perniagaan di sebuah kedai lot yang lebih strategik dan mampu menampung tiga kali ganda kapasiti berbanding lokasi sebelum ini.

“Pelanggan semakin ramai, jadi saya perlu mencari tempat yang tidak mengganggu tempat letak kereta dan lebih selesa,” katanya masih menjalankan penghantaran kepada mana-mana pelanggan sekitar.

Lebih menarik, Satay Sedap Sikamat turut menyediakan konsep secara panda lalu (drive-thru) bagi memudahkan pelanggan membeli sate secara combo.

Nurul turut menasihatkan para usahawan perlu sabar dan bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan.

“Kita perlu bertanggungjawab dalam sebarang keputusan semasa dalam berniaga. Ini perlu bagi memastikan kualiti makanan dan pelanggan berpuas hati dengan makanan yang ditempah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN