Samaiden sasar jadi penyedia tenaga bersih menyeluruh

Samaiden kukuh kedudukan, sasar jadi penyedia tenaga bersih menyeluruh

CHOW PUI HEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan dan penyelesaian tenaga bersih, Samaiden Group Berhad terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan pertumbuhan hasil dan projek baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (TBB), sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri berkenaan di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, kumpulan itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak 22.9 peratus kepada RM198.1 juta berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh pengiktirafan hasil lebih tinggi daripada projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang sedang berjalan.

“Sehingga 30 Jun 2025, buku pesanan Samaiden berjumlah RM318.58 juta berbanding RM248.54 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus memberikan petunjuk jelas kepada pendapatan tahun kewangan 2026.

“Pada 28 Mei 2025, Samaiden mengambil langkah penting dalam peralihan daripada kontraktor EPCC kepada pemaju aset apabila anak syarikat milik penuh, Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. (SLTSB) menandatangani perjanjian pajakan jangka panjang dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) untuk membangunkan loji janakuasa solar berskala besar (LSSPV) di bawah program LSS5,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Selain itu, Samaiden turut berjaya memperoleh projek tambahan berkapasiti 99.99 MWac di bawah program LSS5+, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pemilik dan pengendali projek tenaga boleh diperbaharui jangka panjang.

Menurut beliau, syarikat juga mengembangkan portfolio melalui projek biotenaga apabila berjaya meraih tiga anugerah projek biotenaga di bawah mekanisme bidaan elektronik Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada 30 Julai lalu. 

“Projek yang terletak di Johor, Terengganu dan Kelantan itu bakal menambah lebih 18 megawatt (MW) kapasiti biomas dan biogas dengan perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun.

“Selain itu, anak syarikat milik penuh Samaiden Sdn. Bhd. juga menerima Surat Anugerah daripada Unique HEB Energy Sdn. Bhd. pada 28 Ogos lalu untuk melaksanakan kerja EPCC bagi sebuah loji janakuasa LSSPV berkapasiti 95 MWac di Hilir Perak. 

“Projek bernilai RM290 juta ini dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan kumpulan,” katanya.

Mengulas hala tuju kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Pui Hee berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan kukuh dengan meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga elektrik kepada kira-kira 25 peratus, hasil perkembangan pesat tenaga solar dan hidro.

“RMK-12 memberi penekanan jelas terhadap pertumbuhan hijau yang menyokong kelestarian, daya tahan ekonomi dan pembangunan inklusif. Program LSS, tarif galakan (FiT), Meter Tenaga Bersih (NEM), Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) serta skim pembekalan tenaga boleh diperbaharui korporat (CRESS) antara inisiatif penting yang mempercepatkan pengambilan RE.

“Pendekatan kerajaan ini jelas membuka laluan ke arah masa depan tenaga rendah karbon yang lebih berdaya tahan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan strategi jangka panjang Samaiden,” katanya.

Menyentuh keputusan kerajaan yang memberi lebih banyak kontrak RE kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau berkata, penyertaan GLC mempunyai kelebihan dari segi kekuatan kewangan, kepakaran teknikal dan kapasiti pelaksanaan.

Namun katanya, ekosistem seimbang perlu diwujudkan agar pemain sektor swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat bumiputera turut berpeluang berkembang.

“Walaupun terdapat cabaran untuk mengakses projek berskala besar yang lazimnya lebih mudah dicapai GLC, Samaiden tetap berjaya berkembang dengan memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek, mempelbagaikan portfolio serta melabur dalam aset berpendapatan berulang.

“Kami terus menggesa dasar lebih seimbang, termasuk kerangka penilaian lebih telus, sokongan pembiayaan kepada PKS serta peruntukan khusus untuk teknologi RE inovatif,” katanya.

Tambah beliau, struktur perolehan projek solar kerajaan kini semakin telus dan teratur menerusi mekanisme bidaan kompetitif LSS serta model baharu seperti CGPP, namun masih ada ruang untuk meningkatkan keterangkuman.

“Samaiden menyokong mekanisme yang menurunkan halangan kemasukan untuk syarikat bukan GLC, termasuk kriteria pra-kelayakan lebih jelas, struktur projek berasaskan konsortium serta ketelusan mengenai tender akan datang.

“Kerangka perolehan yang seimbang amat penting untuk membuka potensi penuh ekosistem tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×