PETALING JAYA: Ringgit dijangka berterusan mengukuh antara RM4.08 hingga RM4.20 sehingga akhir tahun didorong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal positif dan peningkatan eksport sebanyak empat peratus dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) dari segi kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rezab Persekutuan (Fed) dan juga kemelesetan pasaran ekonominya akan melemahkan dolar, sekali gus mengukuhkan lagi ringgit.
“Walau bagaimanapun sehingga akhir tahun ini ringgit dijangka mengukuh sekitar RM4.10 hingga RM4.20,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, usaha kerajaan untuk memperkukuhkan nilai ringgit dijangka mengambil masa berikutan keperluan membina semula keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia.
Katanya, kerajaan perlu menunjukkan bahawa asas ekonomi domestik berada dalam keadaan kukuh dan berdaya tahan.
“Namun begitu, ketidaktentuan politik, dakwaan salah guna kuasa serta peningkatan kes penggubahan wang haram dilihat sebagai faktor yang boleh menjejaskan persepsi pelabur luar terhadap kestabilan institusi dan urus tadbir negara,” katanya.
Menurut Kenanga Research, kestabilan makro ekonomi Malaysia, reformasi struktur yang sedang berjalan serta aliran keluar pelabur global daripada aset-aset AS dijangka mampu mengukuhkan nilai ringgit kepada RM4.08 menjelang akhir tahun ini berbanding RM4.47 pada akhir 2024,
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan risiko fiskal di AS telah meningkatkan premium hasil bon perbendaharaan, mendorong pelabur untuk mencari pasaran yang lebih stabil dan berstruktur seperti Malaysia.
Katanya, meskipun pemotongan kadar dasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai telah mengecilkan jurang hasil sebenar dan sedikit mengurangkan daya tarikan bon tempatan, Malaysia masih menawarkan peluang pelaburan terpilih, terutamanya disokong oleh aliran pulangan hasil korporat ke dalam negara.
“Pada masa sama, deposit mata wang asing mencatatkan rekod baharu sebanyak RM292.8 bilion pada Julai, manakala program Qualified Resident Investor oleh BNM menyediakan insentif tambahan kepada syarikat untuk menukar pegangan asing mereka kepada ringgit.
“Dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang, dolar AS dijangka melemah akibat kebimbangan fiskal dan pelonggaran dasar monetari oleh Fed.
“Namun, peningkatan semula dolar AS dalam jangka pendek dijangka berlaku berikutan normalisasi kedudukan pasaran. Ini membuka ruang kemasukan ke dalam aset pasaran membangun (EM) dan Malaysia menyerlah sebagai destinasi yang dipacu reformasi,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari segi unjuran dasar monetari, Kenanga Research melihat permintaan domestik kekal berdaya tahan, dengan sektor perlombongan dijangka pulih dan sektor perkhidmatan berkembang secara berterusan yang dilihat mampu menyerap kelemahan luaran.
“Kestabilan ini memberi ruang kepada BM untuk mengekalkan kadar dasar sedia ada dan mengekalkan peluru dasar untuk menghadapi kejutan masa depan,” katanya.
Namun begitu, risiko inflasi dilihat semakin meningkat selepas permulaan tahun yang agak suram.
Tambahnya, kesan lambat daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), reformasi subsidi serta kenaikan gaji minimum dijangka memberi tekanan kenaikan harga dalam bulan-bulan akan datang.
Meskipun demikian, ketiadaan permintaan berlebihan, peningkatan kapasiti penawaran serta sokongan fiskal bersasar dijangka dapat mengekang tekanan inflasi dengan berkesan.
“Dengan pertumbuhan ekonomi kekal stabil dan inflasi terkawal, kadar dasar semasa BNM pada 2.75 peratus dianggap masih sesuai. Tiada keperluan untuk pemotongan kadar selagi permintaan domestik kekal kukuh, meskipun BNM akan terus bergantung kepada data,” tambahnya. – UTUSAN










