Putin dalam pertimbangan sertai Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini - Utusan Malaysia

Putin dalam pertimbangan sertai Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini

KETUA Pengarah Jabatan Kerjasama Pelbagai Hala dan Projek Khas, Kementerian Pembangunan Ekonomi Persekutuan Rusia, Nikita Kondratev (kanan) berucap pada ucapan pembukaan ketika sesi Perundingan ASEAN Economic Ministers (AEM) - Rusia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober depan masih dalam pertimbangan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala dan Projek Khas, Kementerian Pembangunan Ekonomi Persekutuan Rusia.

Nikita Kondratev berkata, perkara berkenaan kini dibincangkan di pejabat presiden.

“Saya tidak dapat menjawab secara langsung soalan ini sekarang. Saya fikir apabila keputusan dibuat, pihak berkuasa rasmi akan memaklumkan mengenai ketua delegasi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perundingan AEM-Rusia ke-14 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor mendedahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin berkemungkinan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

Anwar berkata, perkara tersebut dizahirkan sendiri oleh Presiden Putin kepadanya di Beijing bahawa beliau serius mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia.

“Presiden Trump sendiri menghubungi saya dan mengesahkan akan hadir Oktober, manakala Presiden Putin pula menyatakan secara terus kepada saya di Beijing bahawa beliau serius mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, nilai dagangan dua hala antara ASEAN dan Rusia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 13.2 peratus pada 2024 kepada AS$8.1 bilion (RM34.2 bilion) berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menandakan pengukuhan hubungan ekonomi kedua-dua pihak.

Menurut data kebangsaan Rusia, pelaburan langsung asing (FDI) negara itu ke ASEAN juga meningkat 20.8 peratus kepada AS$474 juta (RM2 bilion) pada tahun sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN