Proton X50 serba baharu muncul kenderaan nombor satu di Malaysia

Proton X50 serba baharu muncul kenderaan nombor satu di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton X50 serba baharu muncul sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) nombor satu 1 di Malaysia pada Ogos selepas lebih 4,000 unit terjual sejak dilancarkan pada 24 Julai lalu.

Proton Holdings Bhd (Proton) dalam satu kenyataan, berkata model segmen-B itu menawan hati pengguna melalui rekaan luaran yang lebih menonjol, kabin dipertingkatkan, ciri pintar terkini serta kempen pemasaran yang menyasarkan golongan muda, sekali gus mencetuskan sambutan hangat di bilik pameran dan platform dalam talian.

“Permintaan tinggi turut hadir dari pasaran Malaysia Timur, mendorong Proton membuat persiapan rapi bagi memastikan keupayaan selepas jualan berada pada tahap terbaik, khususnya untuk model baharu ini,” katanya.

Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching, Sarawak, menjadi nadi utama sokongan selepas jualan apabila memastikan alat ganti X50 serba baharu boleh dihantar dalam tempoh dua hari untuk pesanan segera, disokong paras stok sihat bagi mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan.

Berpusat di kawasan perindustrian Bintawa, kemudahan seluas kira-kira 28,000 kaki persegi itu, tiga kali ganda lebih besar berbanding gudang lama dengan kapasiti meningkat 200 peratus.

Ia mampu mengendalikan sehingga enam kontena serentak, memproses purata 15 hingga 20 kontena sebulan serta menampung stok antara 3 hingga 3.5 bulan.

Pusat berkenaan juga bersedia menerima penghantaran terus dari luar negara, sekali gus memperkukuh peranannya dalam memastikan bekalan alat ganti tepat pada masanya untuk pengedar.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, berkata dengan permintaan pelanggan yang semakin meningkat di Malaysia Timur, Pusat Alat Ganti Serantau itu berfungsi sebagai hab utama pengedaran untuk Sarawak dan jika perlu, turut menyokong Sabah.

“Dengan keupayaan menghantar sehingga 6,000 pesanan sebulan, Proton dapat memenuhi keperluan pengedar dengan cepat serta menyelesaikan tunggakan pelanggan,” katanya.

Setakat tahun ini, Malaysia Timur menyumbang 20.6 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan Proton, manakala penguasaan pasaran meningkat daripada 19 peratus pada 2024 kepada 19.5 peratus pada 2025.

Momentum itu dijangka terus meningkat dengan kejayaan X50 serba baharu serta ketibaan model baharu lain tahun ini.

Ketika ini, Saga kekal sebagai model paling laris dengan jualan tahun semasa mencecah 13,619 unit, diikuti Persona (2,282 unit) dan X50 (1,387 unit).

Seiring pertambahan kenderaan Proton di jalan raya, sokongan selepas jualan yang mantap amat diperlukan, justeru, Proton memperkukuh program Proton Operational Excellence (POE) di Malaysia Timur untuk menawarkan standard perkhidmatan lebih tinggi.

Inisiatif POE merangkumi piawaian menyeluruh meliputi proses servis, kemahiran juruteknik, pengurusan stok serta libat urus pelanggan, dengan sasaran meningkatkan prestasi outlet dan kecekapan operasi di seluruh rangkaian.

“Kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami. Walaupun kami sedar masih banyak penambahbaikan diperlukan, setiap peningkatan membawa kami lebih dekat kepada matlamat. Kami kekal komited menawarkan produk berkualiti tinggi disokong pengalaman selepas jualan yang setara,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN