Prestasi perdagangan Malaysia catat rekod tertinggi

Prestasi perdagangan Malaysia catat rekod tertinggi

AMINUDDIN Harun (duduk, tengah) bersama Mohammad Medan (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama peserta program Hari Eksport Negeri Sembilan 2025 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah perdagangan Malaysia bagi Januari hingga Julai 2025 merekodkan nilai tertinggi pada RM1.731 trilion, meningkat 4.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, eksport mencatatkan RM900.47 bilion (naik 4.3 peratus), manakala import RM 830.16 bilion (naik 5.1 peratus), sekali gus menyumbang lebihan dagangan sebanyak RM70.32 bilion.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, prestasi itu selari dengan trajektori pertumbuhan perdagangan negara pada 2024 yang mencatatkan jumlah tertinggi baharu RM2.879 trilion meningkat 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Eksport negara pada tahun lepas telah melebihi jumlah RM1 trilion selama empat tahun berturut-turut, meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Import meningkat 13.2 peratus kepada RM136.88 bilion untuk tahun ke-27 berturut-turut sejak 1988,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Eksport Negeri Sembilan 2025 di Seremban hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Mohammad Medan berkata, prestasi perdagangan Negeri Sembilan pada 2024 merekodkan nilai RM19.27 bilion dengan pertumbuhan 3.3 perarus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, nilai eksport negeri ini berjumlah RM1.03 bilion, manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2025 sahaja, eksport mencatatkan sebanyak RM880 juta, iaitu peningkatan ketara 10.2 peratus.

“Sebanyak 200 syarikat Negeri Sembilan mendapat manfaat dari program pembangunan pengeksport dan fasilitasi eksport Matrade dengan geran berjumlah RM1.5 juta telah disalurkan kepada syarikat-syarikat Negeri Sembilan. 

“Hasil daripada bantuan ini, syarikat-syarikat telah berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM672.18 juta,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada pengusaha tempatan bagi menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih agresif.

“Kita harap selepas ini akan bertambah lagi bilangan pengkesport, khususnya usahawan-usahawan tempatan di Negeri Sembilan. Ini medium terbaik yang Matrade sediakan untuk mereka pergi lebih jauh, sekali gus menyumbang kepada eksport negara,

“Saya berharap kita tidak hanya tertumpu kepada pasaran tradisi seperti China atau negara serantu sahaja. Sudah sampai masanya kita meneroka pasaran sedang membangun termasuk di Afrika, Brazil dan Amerika Selatan kerana ia juga menawarkan potensi besar kepada pengeskport Malaysia” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN