PNBRI lancar laporan pacu produktiviti dan taraf hidup pekebun kecil sawit 

PNBRI lancar laporan pacu produktiviti dan taraf hidup pekebun kecil sawit 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 210,000 pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara dijangka menerima manfaat besar hasil cadangan dasar baharu yang dikemukakan oleh PNB Research Institute Sdn. Bhd. (PNBRI), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dalam usaha memperkukuh daya saing dan meningkatkan taraf hidup golongan tersebut. 

Laporan bertajuk Realiti dan Prospek Kelestarian dalam Kalangan Pekebun Kecil Sawit di Malaysia itu menggariskan 15 cadangan utama yang menyasarkan peningkatan produktiviti, peluasan akses pasaran serta pematuhan terhadap piawaian kelestarian global yang semakin ketat. 

Antara langkah strategik yang turut diketengahkan termasuk skim latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Agropreneur Sawit Muda bagi melatih pewaris tanah, mempercepatkan pematuhan kelestarian dalam rantaian nilai sawit, memperkasakan koperasi pekebun kecil dengan pembiayaan modal kerja lebih besar, serta memperbaharui komunikasi mengenai manfaat pensijilan kelestarian.

Pekebun kecil persendirian kini mengusahakan kira-kira 15 peratus daripada keluasan tanaman sawit negara, namun berisiko ketinggalan dalam arus pensijilan global sekiranya tidak diberikan sokongan menyeluruh.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata laporan tersebut adalah hasil penyelidikan intensif dan kerja lapangan selama hampir dua tahun melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Kajian ini membuktikan komitmen PNB terhadap penggunaan ilmu dan penyelidikan bagi memberi impak bermakna kepada dasar awam serta memacu industri ke arah pertumbuhan inklusif. 

“Dapatan ini juga seiring dengan usaha kerajaan melalui inisiatif GEAR-uP dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan standard pensijilan kelestarian tempatan,” katanya ketika melancarkan laporan semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNBRI, Dr. Sarena Che Omar, berkata hasil kajian tersebut diharap dapat membantu menyokong agenda nasional dalam memperkukuh ekosistem sawit negara dan memperkasa pekebun kecil pada setiap peringkat.

“Inisiatif ini sejajar rapat dengan pelan strategik tiga tahun PNB, di mana ‘Ilmu’ merupakan salah satu tonggak utama yang memacu transformasi. 

“Melaluinya, PNB menerajui inisiatif yang memperkasakan rakyat Malaysia untuk membuat keputusan yang lebih tepat dan menyumbang kepada pembangunan negara. Kami amat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan bersama ini.

“Laporan PALMA ini bukanlah penutup, sebaliknya asas yang mengundang kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, akademik dan masyarakat sivil untuk bersama-sama membentuk penyelesaian yang memperkasa pekebun kecil dan mengukuhkan agenda kelestarian negara,” katanya.

Ketua penyelidik laporan, Farhana Roslan berkata, penyelidikan tersebut bertujuan mengangkat suara pekebun kecil persendirian agar mereka tidak tersisih dalam usaha negara mengekalkan daya saing eksport sawit.

“Kajian ini merangkumi lebih 30 sesi perbincangan kumpulan sasar melibatkan 250 responden daripada 11 negeri, selain 425 temu bual berstruktur bersama pekebun kecil,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN