PETALING JAYA: PG Jewel Sdn. Bhd. (PG Jewel), sebuah syarikat barang kemas tempatan di bawah Aurora Italia International Berhad melancarkan sebuah kedai fizikal baharu di Taiping, Perak, menjadikannya kedai kedua dibuka di negeri itu selepas Ipoh, dalam tempoh dua bulan.
Berikutan permintaan tinggi untuk membuka kedai fizikal berhampiran pelanggan, PG Jewel juga telah mengambil langkah berani dengan merancang untuk membuka 200 kedai fizikal di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang.
Pengarah PG Jewel, Jessie Ng berkata, selaras dengan inovasi jenama, PG Jewel juga menghasilkan barang kemas gred pelaburan yang bukan sahaja bergaya dan elegan untuk dipadankan dengan fesyen wanita masa kini, tetapi juga ditawarkan pada harga berpatutan kerana reka bentuknya yang ringan.
“Maka, semua orang kini boleh membeli barang kemas bukan sahaja untuk fesyen, tetapi juga sebagai simpanan pelaburan jangka panjang atau warisan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Misi pembukaan kedai fizikal bermula pada Jun 2025 dengan pelancaran kedai utama PG Jewel di Kota Kinabalu, Sabah, diikuti oleh kedai kedua di Ipoh, Perak pada Julai 2025, kedai ketiga di Johor Bahru (JB), Johor pada Ogos 2025, dan kini satu lagi kedai baharu di Taiping, Perak, menjadikannya kedai keempat di Malaysia.
Ini menandakan perjalanan pengembangan yang luar biasa dengan satu kedai baharu dibuka setiap bulan sejak Jun 2025.
Selain jenama miliknya, PG Jewel turut memperdagangkan produk berjenama Aurora Italia, termasuk emas dan perak, khususnya jongkong emas Au 999.9 yang hadir dalam pelbagai saiz 0.25 gram (g), 0.5g dan 1.0g.
Jongkong emas koleksi ini menampilkan rekaan menarik mercu tanda terkenal Malaysia, serta rekaan berlesen eksklusif daripada Marvel, Disney, Warner Bros, DC, dan Sanrio menjadikannya pilihan sesuai sebagai hadiah atau koleksi peribadi.
Dalam pada itu, Jessie berkata, sempena pelancaran kedai baharu di Taiping, PG Jewel memperkenalkan loket emas 999 berbentuk Rama-Rama Hijau pada harga RM329 seunit, ditawarkan pada harga istimewa RM299 seunit sepanjang acara, namun terhad kepada 50 pelanggan.
“Selain itu, 50 pelanggan pertama kedai ini turut menerima Baucar Early Bird bernilai RM50 untuk pembelian seterusnya bagi mana-mana produk emas 916 dan 999, tertakluk kepada terma dan syarat.
“Pelanggan yang berbelanja RM700 ke atas dalam satu resit juga berpeluang mencuba nasib melalui permainan eksklusif Spin & Win-Wheel PG Jewel bagi memenangi hadiah menarik,” ujarnya.
Beliau berkata, memandangkan pertumbuhan jualan positif dari kedai fizikal sedia ada sejak pelancarannya, PG Jewel akan terus mengembangkan rangkaian cawangannya, dengan kedai seterusnya dijadualkan dibuka di Alor Setar, Kedah pada awal November 2025.
“Kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat membuka 200 kedai fizikal di seluruh Malaysia dalam beberapa tahun akan datang.
“Kami berharap orang ramai akan terus menyokong kami sebagai jenama tempatan, agar kami dapat terus memberi manfaat kepada mereka dari segi kewangan dan estetika melalui produk kami,” katanya. – UTUSAN