Petronas Gas terima manfaat daripada SPA PLL, Woodside Energy

Petronas Gas terima manfaat daripada SPA PLL, Woodside Energy

MBSB Investment Bank mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap PGB dengan TP tidak berubah kepada RM19.25 sesaham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) kekal berpotensi menjadi penerima manfaat utama dalam perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) selama 15 tahun, menurut MBSB Investment Bank.

Bank pelaburan berkata, PGB tetap meraih faedah jangka panjang tidak langsung, walaupun perjanjian tersebut adalah antara Petronas LNG Ltd (PLL) dan gergasi tenaga Australia, Woodside Energy Group Ltd.

Katanya, SPA berkenaan dimeterai pada 9 September 2025 melibatkan pembekalan sejuta tan gas asli cecair (LNG) setahun (1mTpa) ke Malaysia bermula 2028, menandakan kejayaan memuktamadkan perjanjian sebelum itu pada Jun 2025.

“Ini memperkukuhkan komitmen Petronas sendiri terhadap isu keselamatan tenaga negara dan memberi isyarat teguh terhadap permintaan global LNG yang meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan.

MBSB Investment Bank berkata, perjanjian tersebut dijangka menyumbang secara langsung kepada keperluan bekalan tenaga Semenanjung Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga dan industri yang berkembang pesat.

Menurutnya, perkembangan tersebut adalah positif berikutan pertumbuhan pusat data, penggunaan luas teknologi kecerdasan buatan (Al) dan peralihan janakuasa arang batu kepada bahan api yang hijau.

Jelasnya, perjanjian itu bukan sahaja membantu daya tahan tenaga Malaysia, malah sejajar dengan komitmen Petronas dalam memastikan akses berterusan kepada LNG yang lebih bersih.

“Woodside sebelum ini menandatangani SPA dengan syarikat minyak dan gas utama di China, Jerman dan Jepun, memberi gambaran LNG terus memainkan peranan penting dalam transisi tenaga global.

“Ini selari dengan arah aliran dunia mengiktiraf LNG sebagai bahan api peralihan ke arah neutral karbon, terutama sektor yang belum boleh beralih penuh kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).

Bank pelaburan berkata, walaupun SPA ditandatangani PLL, PGB dijangka meraih manfaat tidak langsung memandangkan peranan besarnya dalam pengangkutan, pengedaran serta pengegasan semula di Malaysia.

Bagaimanapun bank pelaburan berpendapat, impak perjanjian itu terhadap prestasi kewangan PGB adalah terhad dalam jangka masa terdekat, kerana pelaksanaan sebenar pembekalan hanya akan bermula pada 2028.

Dengan pelaksanaan perjanjian hanya bermula pada tahun kalender 2028, bank pelaburan mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap PGB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM19.25 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN