Pensijilan halal pacu produk perapan Shaiful Z Enterprise

Pensijilan halal pacu produk perapan Shaiful Z Enterprise

MOHD. Shaiful Abd Talib menunjukkan produk perapan yang dikeluarkan oleh Shaiful Z Enterprise.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pengeluar pelbagai produk perapan, Shaiful Z Enterprise dengan mencatatkan peningkatan ketara dalam jualan selepas memperolehnya pada awal 2023.

Pengasas dan pemilik syarikat, Mohd. Shaiful Abd Talib, 42, pensijilan halal yang dimohon pada awal 2022 itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan beragama Islam malah membuka laluan kepada pasaran yang lebih luas termasuk pasar raya, institusi pendidikan dan sektor katering.

“Selepas mendapat sijil halal, permintaan meningkat mendadak kerana keyakinan daripada pelanggan terhadap produk keluaran kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Antara produk syarikat ini termasuk kambing perap istimewa, daging perap istimewa, ayam perap istimewa dan puyup perap istimewa dengan harga antara RM22 hingga RM55, bergantung kepada jenis dan berat produk.

Mohd. Shaiful berkata, perniagaannya beroperasi sejak 2018 dari kilang berskala kecil di Kampung Kundor Tengah, Pedas, Shaiful Z Enterprise kini mempunyai enam orang kakitangan tetap dan lebih 15 orang ejen jualan yang aktif di beberapa negeri. 

“Sejak menerima status halal, produk kami berjaya menembusi pasaran di Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Pahang,” katanya. 

Jelas Mohd. Shaiful, secara keseluruhan, jualan tahunan kini mencecah 10 tan untuk kesemua lima produk perapan syarikat.

“Kami melihat pensijilan halal bukan sekadar keperluan perundangan, tetapi juga strategi penting untuk melonjakkan jenama ke tahap lebih tinggi. 

“Ia memberi kepercayaan kepada pengguna dan pemborong bahawa produk kami bersih, selamat dan diyakini,” tambahnya.

Shaiful turut menyeru agar lebih ramai pengusaha makanan tempatan berusaha mendapatkan pensijilan halal bagi memperkukuh daya saing dan membina jenama yang mampan.

“Produk yang mempunyai sijil halal bukan sahaja mudah diterima di pasaran tempatan, malah berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Dengan kejayaan ini, Shaiful Z Enterprise merancang untuk memperluaskan kapasiti pengeluaran dan terus mengukuhkan jaringan ejen di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN