Penguasaan sarung tangan Malaysia berdepan cabaran serantau

Penguasaan sarung tangan Malaysia berdepan cabaran serantau

KUAN Ham Hon (tengah) bersama Kuan Mun Leong (kanan) dan Ketua Pegawai Perniagaan, Kuan Mun Keng ketika sidang media Mesyuarat Agung Tahunan Hartalega Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Sime Darby. -UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penguasaan Malaysia dalam pasaran sarung tangan di Amerika Syarikat (AS) yang kini sekitar 56 peratus dijangka berdepan cabaran daripada kemasukan pengeluar baharu termasuk Indonesia dan Vietnam.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Bhd., Kuan Mun Leong berkata, ketika ini pengeluar tempatan masih menikmati kelebihan berikutan kadar tarif AS yang tinggi ke atas sarung tangan keluaran China iaitu 80 peratus, berbanding hanya 19 peratus bagi Malaysia.

“Disebabkan tarif tinggi itu, pengeluar China berpindah ke negara Asia Tenggara untuk membina kemudahan baharu. 

“Vietnam misalnya telah mula mengeluarkan sarung tangan bukan gred perubatan, manakala Indonesia hampir pasti memulakan pengeluaran sarung tangan gred perubatan tahun ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu di sini semalam.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, Hartalega merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM74 juta berbanding RM20 juta pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi suku pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2025, kumpulan mencatatkan PAT RM12 juta dengan hasil RM553 juta, dipengaruhi harga jualan purata (ASP) dan volum jualan yang lebih rendah.

Menurut Mun Leong, permintaan global terhadap sarung tangan dijangka meningkat tahun ini sehingga menyamai paras pandemik iaitu 370 bilion keping setahun.

“Namun, ASP terus ditekan berikutan lebihan kapasiti yang dibina semasa pandemik selain kemudahan baharu milik pengeluar China di luar negara mereka bagi mengelak tarif. Situasi ini dijangka berlarutan dua tahun lagi,” jelasnya.

Bagi menghadapi cabaran itu, Hartalega mengambil langkah proaktif termasuk mengoptimumkan kos dan mempercepatkan automasi.

“Dalam tempoh empat bulan lalu, kami telah mengurangkan kira-kira 15 peratus tenaga kerja hasil pengoptimuman operasi. Sebahagian pekerja asing tidak disambung kontrak dan pulang ke negara asal,” katanya.

Mengulas Belanjawan 2026 pada 10 Oktober nanti, beliau berharap kerajaan tidak menaikkan kos perniagaan selain mempertingkatkan kemudahan urusan.

“Kami mahu kerajaan mempercepatkan proses kelulusan atau membenarkan operasi berjalan tanpa gangguan. Namun yang paling penting, jangan naikkan kos,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan penyusunan semula tenaga kerja syarikat bukanlah pengurangan menyeluruh memandangkan Hartalega dalam masa sama menambah barisan pengeluaran baharu.

“Sebahagian kontrak pekerja asing tidak diperbaharui dan mereka pulang ke negara asal, manakala ada yang dialihkan ke kilang baharu.

“Kilang 8 telah siap dibina dan kini kami bergerak ke Kilang 9 di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Generasi Baharu (NGC). Pelaksanaan barisan pengeluaran baharu dibuat secara berperingkat bergantung kepada permintaan pasaran,” ujarnya.

Tambah beliau, kesan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) setakat ini masih minimum namun tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kos secara tidak langsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN