Dapatan, cadangan AGTF akan dibincang secara kolektif

Dapatan, cadangan AGTF akan dibincang secara kolektif sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dapatan dan cadangan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) akan dibentangkan dan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan Menteri Ekonomi ASEAN yang dijadual berlangsung sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan ini bagi memastikan perspektif yang seimbang, memupuk persefahaman bersama dan membimbing dasar-dasar yang mengukuhkan daya tahan ekonomi serta koherensi politik ASEAN.

Katanya, meskipun pasukan AGTF ini masih baharu dan hanya mengadakan lima mesyuarat setakat ini termasuk hari ini yang kebanyakannya secara dalam talian, pasukan ini terdiri daripada pembuat dasar, pemikir digital utama, agensi Dasar ASEAN, AMRO-CSIS dan AREA serta organisasi perniagaan dari ASEAN dan rakan dialog.

“Ini tentunya termasuk Sekretariat ASEAN yang bekerja keras sepanjang lima bulan yang lalu untuk menyatukan dapatan mereka dan merangka syor-syor yang boleh dilaksanakan.

“Saya berharap agar usul-usul ini dapat memperkukuh keselamatan politik dan ekonomi serta meletakkan asas bagi strategi yang inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan.

“Saya difahamkan laporan penuh masih belum siap sepenuhnya, saya telah diberi taklimat pagi ini sempena pengumuman AEM, namun laporan tersebut kini berada pada peringkat akhir penyediaan,” katanya dalam ucapan pembukaan AGTF di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini. 

Zafrul memaklumkan, bagi mesyuarat ini akan menggunakan ringkasan eksekutif sebagai rujukan utama untuk memberikan gambaran awal kepada ahli-ahli bagi tujuan perbincangan dan pembentangan dan akan diedarkan pagi ini.

“Walau bagaimanapun, saya tetap berharap ia akan dapat memudah cara sumbangan bernas daripada negara-negara anggota ASEAN dalam usaha kita untuk memuktamadkan Laporan Geoekonomi ASEAN,” katanya. 

AGTF berfungsi sebagai platform khas di bawah ASEAN untuk mengkaji dan merangka strategi serta dasar yang bertindak balas kepada cabaran geoekonomi serantau dan global.

AGTF bertujuan untuk memperkukuh kesepaduan dan daya tahan ekonomi ASEAN dalam menghadapi perubahan lanskap geoekonomi antarabangsa, termasuk ketidaktentuan dalam perdagangan, teknologi dan keselamatan ekonomi.

Mesyuarat AGTF kelima ini dipengerusikan oleh Tengku Zafrul dan akan membincangkan strategi-strategi untuk menangani cabaran yang semakin memuncak dalam landskap geoekonomi global.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri serta Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong.

Dalam mesyuarat AGTF yang lepas di Bogor, Indonesia, pada bulan Ogos, negara-negara anggota telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk langkah tarif unilateral serta meneliti cabaran dan peluang yang timbul daripada dasar-dasar tersebut. 

Perbincangan mereka menekankan kepentingan tindak balas serantau yang diselaraskan, dasar yang lebih tangkas, serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta untuk mengurangkan risiko terhadap rantaian bekalan, aliran perdagangan dan daya saing jangka panjang ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN