PARAMOUNT Embun Hills merupakan pembangunan baharu oleh Paramount Property di atas tanah pegangan bebas seluas 28 hektar yang menjanjikan gaya hidup eksklusif, hijau dan lestari di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Terletak bersebelahan dengan hutan simpan hujan tropika seluas 37 hektar yang masih terpelihara, kawasan eksklusif ini menjadi kediaman baharu kepada perbandaran mampan Bukit Mertajam.
Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property Wilayah Utara, Wang Chong Hwa berkata, dirancang dengan konsep kehidupan lestari, pembangunan ini menampilkan 497 rumah dua tingkat berpagar dan 69 rumah dua tingkat tidak berpagar, masing-masing berpengawal.
Katanya, Paramount Embun Hills juga dilengkapi dengan 30 pejabat kedai dua tingkat yang hanya berjarak 50 meter dari kediaman.
“Kelestarian menjadi teras komuniti berprestij ini dengan pelan induk yang mempromosikan biodiversiti, kecekapan tenaga dan pemuliharaan sumber semula jadi.
“Kesemua kediaman di sini dibina dengan orientasi utara-selatan bagi mengurangkan haba dari cahaya matahari terus serta dilengkapi titik penebat pengecas kenderaan elektrik (EV) dan saluran kabel panel solar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, rumah di Paramount Embun Hills direka dengan keluasan antara 2,230 hingga 2,518 kaki persegi, menampilkan empat bilik tidur dan empat bilik air ensuite.
Jelasnya, reka bentuk terbuka memastikan pengudaraan semula jadi, manakala dapur luas serta anjung kereta yang mampu memuatkan sehingga tiga kenderaan menepati gaya hidup keluarga moden.
“Kediaman ini juga mesra warga emas, dengan bilik khas di tingkat bawah yang mudah diakses kerusi roda.
“Kelengkapan moden seperti set kunci digital, kotak penghantaran bungkusan khas dan penggunaan cat rendah Sebatian Organik Meruap (VOC) menambah nilai rumah masa depan yang bersedia menghadapi perubahan gaya hidup,” jelasnya.
Tambahnya, kediaman yang telah dilancarkan adalah rumah teres dua tingkatdan rumah kluster semi-D dua tingkat.
Jelasnya, aspek keselamatan turut menjadi tumpuan utama di Paramount Embun Hills dengan penerapan konsep Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED).
“Landskap hijau berfungsi sebagai penampan semula jadi, laluan joging disediakan demi keselamatan penduduk dan reka bentuk cul-de-sac (jalan mati di hujung) mengurangkan trafik di kawasan kejiranan.
“Kelengkapan komuniti melengkapkan gaya hidup moden dengan adanya kelab peribadi yang menampilkan kolam renang berinspirasikan resort, gimnasium, dewan serbaguna serta tadika,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan ini menawarkan akses mudah ke bandar berdekatan termasuk hanya empat kilometer ke pusat bandar Kulim, lima kilometer ke Bukit Mertajam dan pusat bandar Alma, 16 kilometer ke Jambatan Pulau Pinang serta 18 kilometer ke Jambatan Pulau Pinang kedua. – UTUSAN










