PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini dalam usaha menstabilkan ekonomi negara.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan permintaan dan perbelanjaan isi rumah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang masih perlahan.
“Kadar faedah yang agak rendah kini bertujuan untuk menggalakkan pinjaman isi rumah, sekali gus meningkatkan perbelanjaan domestik. Namun begitu, sektor perbankan menghadapi cabaran tersendiri.
“Kadar faedah rendah memberikan tekanan kepada hasil pulangan bank, terutamanya dalam segmen pinjaman isi rumah.
“Oleh itu, bank perlu meningkatkan kecekapan kos operasi untuk kekal berdaya saing dan mampan dalam persekitaran kadar faedah yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, bank-bank komersial dijangka akan menumpukan kepada pengurangan kos operasi dan meningkatkan inovasi teknologi bagi memastikan margin keuntungan dapat dikekalkan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kerajaan digesa mempergiatkan dasar fiskal yang mampu merangsang perbelanjaan isi rumah, termasuk melalui bantuan langsung dan insentif yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Dengan gabungan strategi ini, diharapkan ekonomi Malaysia dapat terus bergerak ke arah pemulihan yang mampan dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, OPR dijangka kekal pada paras 2.75 peratus sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, bagi memberi ruang kepada pemulihan ekonomi yang berterusan.
Katanya, langkah penurunan OPR adalah usaha proaktif untuk menyeimbangkan kesan negatif terhadap ekonomi domestik serta memastikan kestabilan dalam pertumbuhan negara.
“Penurunan OPR sebelum ini bukan sekadar reaksi jangka pendek, tetapi sebagai langkah strategik menghadapi risiko-risiko global yang tidak menentu,” katanya.
Jelas Umi Hamidaton, BNM dijangka akan terus memantau perkembangan ekonomi dan membuat penyesuaian dasar jika perlu bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.
“Selain itu, keadaan inflasi domestik yang masih terkawal membolehkan BNM mengambil pendekatan yang lebih akomodatif dalam dasar monetari. Ini memberi ruang kepada bank pusat untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Ketidaktentuan global seperti tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada eksport. Namun, inflasi yang terkawal memberikan fleksibiliti kepada BNM untuk meneruskan dasar yang lebih bersifat akomodatif,” katanya. – UTUSAN