Modenas lancar Elit 150S pada harga RM7,877

Modenas lancar Elit 150S pada harga RM7,877

PENGARAH Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar (kiri) bersama Roslan Roskan (kanan) dan Presiden Kawasaki Motors, Hiroshi Ito pada sesi bergambar pada Malam Gala Ulang Tahun ke-30 Modenas di M World Hotel Petaling Jaya di sini, malam tadi. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), pengeluar motosikal nasional Malaysia dan ahli Kumpulan DRB-HICOM meraikan ulang tahun ke-30 dengan melancarkan skuter premium terbaharunya, Elit 150S pada harga RM7,877.

Direka bentuk untuk penunggang bandar masa kini, Elit 150S menggabungkan penggayaan kontemporari, teknologi canggih dan praktikal untuk kegunaan harian, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen skuter 150cc.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, pelancaran Elit 150S menggariskan komitmen Modenas untuk menyampaikan penyelesaian mobiliti yang boleh dipercayai, bergaya dan bersedia untuk masa hadapan.

“Pelancaran ini amat bermakna kerana ia merapatkan legasi 30 tahun yang membanggakan kami dengan perjalanan yang menarik di masa hadapan.

“Modenas Elit 150S mencerminkan komitmen kami untuk menggabungkan inovasi dengan praktikal setiap hari. Ia direka untuk rakyat Malaysia yang mencari lebih daripada sekadar mobiliti iaitu mereka menghargai gaya, keselesaan dan kebanggaan pemilikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ulang tahun ke-30 Modenas dan pelancaran skuter tersebut di sini, malam tadi.

Menurutnya, Elit 150S terserlah dengan gaya yang berani, moden dan kemasan premium dengan lampu depan LED berkembar dengan lampu nyalaan siang hari meningkatkan keterlihatan, manakala sistem kunci pintarnya menawarkan kemudahan tanpa kunci yang selamat.

Jelasnya, tempat penyimpanan bawah tempat duduk 23 liter yang luas menyediakan ruang yang cukup untuk barang keperluan.

“Meter laju LCD memastikan bacaan yang jelas, melengkapkan ciri keselamatan yang termasuk brek cakera hadapan dan belakang, kejutan belakang berkembar dan sistem lampu bahaya untuk menambah keyakinan di jalan raya.

“Pada terasnya, enjin 150cc yang mematuhi Euro 4, penyejuk cecair memberikan 10.5 kW pada 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm, menawarkan prestasi yang kukuh dengan kecekapan bahan api,” ujarnya.

Tambahnya, keselesaan dipertingkatkan melalui tempat duduk ergonomik dan kedudukan menunggang yang santai untuk kedua-dua penunggang dan penumpang, manakala tangki bahan api 12 liter menyediakan jarak sehingga 480 kilometer (km) pada satu isian.

Elit 150S  yang didatangkan dalam dua warna iaitu biru Riviera dan kelabu Quantum itu adalah sebahagian daripada strategi Modenas yang lebih luas untuk mengukuhkan barisan skuter premium dan jejak serantaunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN