SHAH ALAM: Mdua Motor Sdn. Bhd. (MDua Motor) memperkenalkan skuter rekaan retro pada harga mampu milik, iaitu Moca di bawah jenama Moda.
Berkapasiti 110 cc, ia ditawarkan pada harga RM3,988 di Semenanjung tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Moca turut menawarkan pakej jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer.
Didatangkan dalam tiga warna ekspresif iaitu oren Neon, hitam Piano dan biru Ocean, sekali gus menyerlahkan keceriaan serta gaya hidup mudah kepada si penunggang.
Majlis pelancaran Moca disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFY Mobility Industries (AMI), Ahmad Faez Yahaya dan Pengarah Urusan Kumpulan AMI, Datuk Jeffrey Lim di sini, hari ini.
Dengan berat 89 kilogram (kg), Moca mudah dikawal dalam kesesakan trafik di bandar, lorong sempit serta ruang letak kenderaan yang terhad.
Skuter ini dilengkapi ciri-ciri praktikal untuk kegunaan harian seperti ruang simpanan di bawah tempat duduk; rak belakang untuk beg beli-belah dan barangan peribadi; paparan meter digital; brek cakera hadapan; serta lampu utama hadapan dan lampu belakang diod pemancar cahaya (LED). – UTUSAN