MNRB labur hampir RM20 juta untuk Tabung Biasiswa MNRB

MNRB labur hampir RM20 juta untuk Tabung Biasiswa MNRB

RUDY Rodzila Che Lamin (sembilan dari kiri), bersama Pengerusi MNRB Holdings, Datuk Sulaiman Mohd Tahir (sepuluh dari kiri) bersama barisan penerima Anugerah Biasiswa MNRB 2025 pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa MNRB 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tabung biasiswa anjuran MNRB Holdings Berhad telah memberikan manfaat kepada lebih 736 pelajar cemerlang, dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan mencecah RM20 juta. 

 Interim Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, sejak dilancarkan pada 1998, tabung biasiswa ini terbuka kepada semua kaum dan latar belakang agama, namun memberi keutamaan kepada pelajar daripada golongan B40 dan M40. 

 “Setiap pemilihan dilakukan secara telus dan berasaskan merit akademik, latar belakang sosioekonomi, potensi kepimpinan serta tahap kecerdasan emosi (EQ) calon.

 “Pada tahun ini, program ini menerima lebih 500 permohonan, namun hanya 17 pelajar cemerlang berjaya dipilih setelah melalui proses saringan ketat termasuk temu duga dan penilaian latar belakang keluarga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini. 

 Tabung Biasiswa MNRB diasaskan oleh MNRB Holdings Berhad pada 1 April 1998 dengan matlamat untuk membantu dalam pembangunan industri insurans dan takaful Malaysia. 

 Melalui kerjasama dengan Malaysian Insurance Institute (MII), Tabung Biasiswa MNRB turut diperluas kepada golongan professional yang berkhidmat dengan industri insurans tempatan melalui tajaan biasiswa sepenuh masa Associateship of the Malaysian Insurance Institute (AMII) Tahap 1 dan 2 di MII. 

 Program biasiswa ini memberi tumpuan kepada bidang pengajian untuk pembangunan industri termasuk sains aktuari, teknologi maklumat, statistik, sains data, syariah, perakaunan, undang-undang, pengurusan risiko, kejuruteraan dan insurans. 

 Biasiswa ini ditawarkan untuk pengajian sepenuh masa di peringkat matrikulasi, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda di universiti awam dan swasta tempatan. 

 Rudy Rodzila berkata, lebih membanggakan, sebanyak 10 peratus daripada alumni program biasiswa ini kini berkhidmat di MNRB atau syarikat subsidiarinya, termasuk beberapa individu yang memegang jawatan kanan. 

 “Ada antara mereka yang memegang jawatan kanan dalam kumpulan dan industri. Ini adalah bukti bahawa pelaburan dalam pendidikan mampu mencipta impak besar kepada struktur sosial negara,” katanya. 

 Rudy Rodzila turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan lagi capaian program biasiswa ini pada masa akan datang.

“Kami menyasarkan untuk memberi biasiswa kepada lebih ramai pelajar pada tahun akan datang,” ujarnya

 Selain biasiswa itu, MNRB melalui anak syarikatnya, Takaful IKHLAS menubuhkan platform IKHLAS Barakah House (IBH) yang bertujuan untuk menyokong komitmen tanggungjawab sosial korporat.

 Melalui pendekatan menyeluruh dan inklusif ini, MNRB bukan sahaja mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam sektor kewangan dan insurans, malah turut menyumbang secara langsung ke arah pembinaan masyarakat yang lebih adil, berdaya saing dan sejahtera, sejajar dengan aspirasi negara ke arah status ekonomi berpendapatan tinggi. 

 Program biasiswa MNRB ini bukan sekadar tajaan bantuan kewangan semata-mata malah, turut menawarkan pelajar peluang latihan industri, program pembangunan diri dan bimbingan kerjaya. 

Selain itu, pendekatan holistik ini menyediakan pengalaman dan kemahiran yang komprehensif kepada penerima biasiswa sebagai persiapan dalam menjadi tenaga profesional industri pada masa hadapan. 

 Permohonan tabung biasiswa ini dibuka setiap tahun secara dalam talian melalui laman rasmi MNRB di www.mnrb.com.my serta platform rasmi Linkedln rasmi syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN