KUALA LUMPUR: Malaysia yakin melaksanakan sekurang-kurangnya 15 daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang telah ditetapkan untuk tahun ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata, daripada 18 inisiatif yang ditetapkan Malaysia tahun ini, satu telah selesai sepenuhnya manakala lapan lagi hampir mencapai sasaran.
“Malaysia yakin sekurang-kurangnya 15 PED dapat disiapkan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung, manakala baki tiga lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Antara PED penting yang disebut termasuk penandatanganan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) yang ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, semalam.
Kedua-dua perjanjian itu dijangka dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini.
Dalam pada itu, Mastura berkata, mesyuarat Prep-SEOM turut memberi tumpuan kepada 10 agenda utama termasuk status pelaksanaan PED yang menjadi komitmen Malaysia sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Mastura turut memaklumkan mesyuarat itu hanya melibatkan negara anggota ASEAN tanpa kehadiran rakan dialog luar seperti Amerika Syarikat (AS), China atau Kesatuan Eropah (EU) sahaja.
Tambah beliau, semua negara ASEAN menunjukkan kesepakatan dalam hala tuju dan keprihatinan ekonomi semasa.
Terdahulu, Mastura mempengerusikan mesyuarat Prep-SEOM yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Ekonomi ASEAN Satvinder Singh serta wakil Timor-Leste ke ASEAN Augusto Jr. Trindade. – UTUSAN










