Malaysia mampu tarik pelabur asing melalui solar

Malaysia mampu tarik pelabur asing melalui solar

SEKTOR komersial seperti pusat membeli-belah, hospital dan hotel berpotensi menjimatkan kos operasi melalui pemasangan solar di bumbung bangunan berskala besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berada di persimpangan penting dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (TBB), khususnya solar yang semakin diiktiraf sebagai satu  daripada enjin pertumbuhan ekonomi masa hadapan. 

Terletak pada kedudukan geografi yang kaya dengan cahaya matahari sepanjang tahun, tenaga solar dilihat berpotensi besar untuk menjadi sumber utama dalam menjana tenaga bersih negara serta menarik pelabur asing ke negara ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Ma­laysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Ab­dul Rashid ber­ka­ta, peluang ini wa­jar dimanfaatkan secara lebih se­rius kerana iklim tropika memberikan Ma­laysia kelebihan se­mula jadi yang ti­dak dimiliki oleh ba­nyak negara lain.­

Katanya, landskap tenaga ma­sa depan dijangka akan lebih dipacu oleh mekanisme pasaran ter­buka iaitu tenaga elektrik yang di­jana daripada solar boleh diniagakan berdasarkan harga pasaran, berbanding sistem kadar te­tap yang digunakan sebelum ini. 

“Justeru, perkara ini dilihat mampu untuk menjadi suatu insentif bagi rakyat Malaysia untuk beralih kepada tenaga solar sebagai sumber tenaga utama dan lebihan tenaga yang dijana boleh didagangkan pada harga pasaran. 

“Sekiranya perkara ini mendapat sambutan yang baik, sudah pasti sumbangan tenaga solar akan meningkat, sekali gus dapat mengurangkan pelepasan gas karbon ke atmosfera,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Oleh itu, Afzanizam menekankan perlunya sokongan kerajaan dalam bentuk insentif kewangan seperti potongan cukai, memandangkan kos pemasangan sistem solar masih menjadi halangan utama kepada kebanyakan isi rumah. 

Jelasnya, tanpa insentif sebegini, peralihan kepada tenaga hijau mungkin akan bergerak perlahan walaupun manfaat jangka panjangnya jelas.

Sementara itu, Pe­ngarah Program MBA Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Ab­dul Latiff mengakui tenaga solar berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, namun ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. 

Katanya, ini kerana Malaysia masih bergantung pada infrastruktur penjanaan tenaga berasaskan minyak dan gas  serta arang batu yang masih boleh digunakan untuk tempoh bertahun-tahun lagi. 

Bagaimanapun, beliau berkata, solar tetap berperanan penting dalam melengkapi sumber tenaga bersih lain seperti hidro dan biofuel, menjadikan campuran tenaga negara lebih seimbang dan mampan.

“Tenaga solar mungkin bukan satu-satunya pemacu perlaihan tenaga tetapi melengkapi tenaga bersih yang lain seperti hidro dan biofuel.

“Perkembangan industri solar boleh meningkatkan daya saing Malaysia dalam menarik pe­laburan asing melalui kelebihan negara yang menawarkan in­frastruktur dan kemudahan fa­siliti yang cukup sesuai untuk menghasilkan produk solar,” ujarnya.

Tambahnya, negara ini mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur, kemudahan logistik serta tenaga kerja berkemahiran yang sesuai untuk menyokong ekosistem pembuatan dan penyelidikan solar. 

Jelasnya, ini sekali gus boleh mendorong pertumbuhan eksport produk berkaitan solar, menjadikan Malaysia lebih menonjol dalam rantaian nilai global tenaga hijau.

Secara keseluruhannya, walaupun tenaga solar masih berdepan cabaran dari sudut kos awal, kebergantungan kepada tenaga fosil sedia ada dan keperluan dasar yang lebih kukuh, ia tetap muncul sebagai satu sektor strategik yang berpotensi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×