KUALA LUMPUR: M+ Global, platform dagangan saham nombor satu negara di bawah Malacca Securities melancarkan stor konsep broker saham pertama di Malaysia.
Pembukaan stor konsep di KL Eco City itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda berusia antara 25 hingga 45 tahun.
Pengarah Urusannya, Lim Chia Wei berkata, stor konsep itu mengukuhkan janji jenama M+ Global iaitu ‘Kurang Meneka, Lebih Membimbing’ dalam membantu orang ramai beralih daripada sekadar menyimpan kepada membina kekayaan melalui pelaburan berasaskan ilmu.
“Fokus stor konsep ini lebih kepada pendidikan bertujuan membantu rakyat Malaysia bukan sahaja menyimpan, malah membina kekayaan melalui gabungan nasihat pakar, pengetahuan asas dan strategi pelaburan yang berkesan.
“Selain lebih 200 pakar pelaburan berlesen dalaman kami, Stor Konsep M+ Global akan menganjurkan sesi perkongsian, ceramah dan seminar bersama profesional pelaburan lain memberikan gambaran kewangan yang lengkap,” katanya semasa pelancaran stor konsep itu di sini, semalam.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengarah Pasaran Derivatif Bursa Malaysia, Mohd. Saleem Kader Bakas dan Ketua, Pembangunan Industri Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzil Abdul Wahit serta memperkenalkan pemain badminton negara, Toh Ee Wei sebagai duta jenama pertama mereka.
Chia Wei berkata, menurut data Bank Negara Malaysia (BNM), indeks literasi kewangan MyFLIC meningkat kepada 59.1 per pada 2024 berbanding 57.1 pada 2018.
“Bagaimanapun, sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran menyediakan wang tunai RM1,000 ketika kecemasan, manakala 26 peratus pula merasakan mereka menanggung hutang berlebihan.
“Dalam konteks itu, M+ Global yakin stor konsep ini dapat menjadi pusat rujukan fizikal untuk orang ramai mendapatkan panduan pelaburan secara lebih jelas, selain mendorong amalan pengurusan kewangan berhemah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara kemudahan yang ditawarkan termasuk Zon Pengalaman Produk, Hab Pembelajaran Pelaburan, Konsultasi Peribadi, Zon Foto Interaktif serta sudut runcit barangan eksklusif.
“Kami juga akan menampilkan pengisian bulanan seperti pada Oktober dan November tahun ini akan dianjurkan BBK Network iaitu pakar menjelaskan topik kewangan secara santai dan Financial Faiz iaitu pendidik kewangan yang terkenal dengan strategi praktikal membina kekayaan.
“Pada Januari 2026 pula, kami akan mengadakan penceramah jemputan khas yang akan diumumkan kemudian,” ujarnya.
Bagi meraikan pembukaan kedai konsep tersebut, pengunjung ditawarkan beberapa aktiviti promosi iaitu kopi percuma selama empat hari bermula hari ini bagi mereka yang membuat hantaran media sosial menggunakan tanda pagar rasmi.
Selain itu, terdapat juga cabutan gashapon untuk pelanggan yang memberikan ulasan lima bintang di Google dan Figurine eksklusif Teh Tarik Mau untuk 50 pelanggan pertama yang mendaftar akaun melalui aplikasi M+ Online. – UTUSAN