KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama PNB Research Institute Sdn. Bhd. (PNBRI) bagi memperkukuh penyelidikan dan analisis data dalam sektor agromakanan negara.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen kementeriannya dalam memodenkan sektor pertanian, sekali gus menandakan permulaan kerjasama rintis antara KPKM dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara negara amat penting. Sebagai contoh, Singapura kini menduduki tempat pertama dalam Indeks Keselamatan Makanan di Asia walaupun hampir tidak mempunyai hasil pertanian sendiri.
“Kejayaan tersebut dicapai melalui kerjasama erat dengan negara-negara lain,” katanya semasa majlis pemeteraian MoU di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, pemeteraian MoU ini akan membuka akses kepada data penting agromakanan negara daripada KPKM kepada PNBRI bagi tujuan analisis dan penyediaan pemahaman yang relevan mengenai sektor agromakanan di Malaysia
“Penyelidikan dan analisis ini akan bermula dari tahun 2025 sehingga tahun 2027. Antara intipati penyelidikan akan memberi fokus kepada perkongsian kepakaran penyelidikan sektor agromakanan negara termasuk pembangunan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) pertanian dan pemanfaatan data Banci Pertanian 2024.
“Kerjasama ini juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang merupakan sebahagian daripada strategi KPKM untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi dalam sektor agromakanan.
“Selain itu, ia menyokong agenda digitalisasi pertanian dan membuka peluang baharu serta membantu merangka hala tuju yang lebih kukuh untuk masa depan pertanian di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Datuk Seri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan sokongan PNB terhadap agenda pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga selaras dengan GEAR-uP yang menyelaras usaha GLIC dalam merangsang pertumbuhan sektor ekonomi utama negara.
“Melalui pendekatan kolaboratif ini, GLIC dan kerajaan dapat menjalin kerjasama strategik berteraskan penyelidikan serta keperluan semasa negara.
“Usaha ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik berimpak tinggi yang mampu membawa perubahan nyata serta menyumbang kepada kemakmuran sosioekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










