KLIA catat rekod, kendali 12,437 penumpang sejam - Utusan Malaysia

KLIA catat rekod, kendali 12,437 penumpang sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan rekod baharu apabila mengendalikan 12,437 penumpang dalam tempoh sejam pada 13 September lalu, bersamaan hujung minggu sambutan Hari Malaysia dan cuti sekolah selama seminggu.

Jumlah itu merangkumi 6,799 penumpang di Terminal 1 dan 5,638 di Terminal 2, menjadikannya throughput tertinggi setakat ini. 

Pada hari biasa, KLIA menguruskan antara 8,000 hingga 11,000 penumpang pada waktu puncak.

Secara keseluruhan pada hari tersebut, KLIA merekodkan 191,000 penumpang iaitu 130,000 penumpang antarabangsa dan 61,000 domestik. 

Sepanjang cuti perayaan dan sekolah dari 12 hingga 21 September, jumlah keseluruhan penumpang mencecah 1.8 juta, melepasi 1.7 juta yang direkodkan semasa musim puncak Aidilfitri awal tahun ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan KLIA dalam mengendalikan lonjakan trafik secara lancar tanpa menjejaskan pengalaman perjalanan penumpang.

“Fokus kami bukan sahaja menguruskan jumlah penumpang pada waktu puncak tetapi membina infrastruktur dan keupayaan masa depan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan global,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MAHB turut memperkukuh kerjasama bersama syarikat penerbangan, memperkenal teknologi baharu dan memacu inovasi untuk memastikan kelancaran perkhidmatan di lapangan terbang.

“Momentum positif itu turut dicatatkan pada Ogos lalu dengan 5.5 juta penumpang di KLIA, terdiri daripada 3.9 juta penumpang antarabangsa dan 1.6 juta domestik. 

“Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang tempatan MAHB mengendalikan 9.1 juta penumpang pada bulan tersebut, meningkat 2.2 peratus berbanding Julai.

“Pertumbuhan itu turut disokong oleh kemasukan dua syarikat penerbangan baharu iaitu Hong Kong Express di Subang serta Jiangxi Airlines di KLIA, sekali gus menambah pilihan destinasi dan memperkukuh hubungan serantau,” katanya. 

Sementara itu, anak syarikat milik penuh MAHB, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (ISG) di Istanbul, Turkiye mengendalikan 4.7 juta penumpang sepanjang Ogos, terdiri daripada 2.6 juta penumpang antarabangsa dan 2.1 juta domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN