PETALING JAYA: Ketidakstabilan politik yang melanda beberapa pasaran ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Filipina dilihat memberi kelebihan kepada Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih stabil.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kenny Yee Shen Pin berkata, ketidaktentuan politik lazimnya menjadi faktor penghalang kepada pengurus dana untuk menyalurkan pelaburan, sekali gus membuka peluang kepada pasaran serantau lain termasuk Malaysia untuk menarik aliran modal.
“Dengan situasi yang berlaku di Thailand dan Indonesia ketika ini, ia memberi kesan positif kepada pasaran Asia Tenggara lain, khususnya Malaysia,” katanya pada taklimat media maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku keempat 2025 semalam.
Beliau berkata, penilaian saham tempatan kekal menarik dengan nisbah harga kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar 15 kali berbanding purata sejarah kira-kira 16.5 kali, menunjukkan masih terdapat ruang untuk kenaikan.
Dalam pada itu, Rakuten Trade menyemak semula sasaran hujung tahun bagi indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) secara sederhana kepada 1,650 mata berasaskan PER 16.5 kali tahun kewangan 2025, berbanding 1,630 mata pada PER 16 kali sebelum ini.
Katanya, semakan itu disokong oleh aliran masuk dana asing dan pemulihan sentimen pasaran serta kemasukan semula dana asing ke Asia menjadi pemacu utama, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur.
“Bagi pasaran Asia Tenggara, aliran dana asing masih belum menunjukkan minat. Namun, kami percaya rantau ini bakal menjadi tumpuan sebaik sahaja ‘pesta’ di China-Hong Kong reda.
“Mencapai 1,650 mata daripada paras semasa bukan tugas sukar kerana sentimen semakin pulih. Jadi, dengan kemasukan dana asing, ia mengukuhkan keyakinan pasaran,”katanya.
Beliau berkata, sokongan pelabur domestik turut membantu apabila paras rintangan sebelum ini ditembusi dan indeks mengekalkan momentum.
“Dengan jangkaan dolar Amerika Syarikat (AS) semakin lemah, pengurus dana global cenderung menyalurkan dana ke pasaran yang memiliki mata wang lebih stabil. Asia menjadi destinasi pilihan.
“Pelabur juga mencari negara yang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh dan mata wang stabil bagi memastikan pulangan pelaburan,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi ringgit, beliau berkata, sasaran jangka pendek adalah pengukuhan kepada sekitar RM4.00 hingga RM4.15 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun, bergantung kepada kadar pelarasan faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Bagi ringgit pula, kami menjangkakan mata wang tempatan akan melalui proses penyesuaian semula dan diunjur bergerak dalam julat RM4.00 hingga RM4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.
“Ini disokong oleh kelemahan ekonomi AS yang berpotensi mendorong lebih banyak pemotongan kadar faedah,” ujarnya. -UTUSAN