Kafe Grab & Go tarikan baharu Putrajaya

Kafe Grab & Go tarikan baharu Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Putrajaya Leisures and Services Group Sdn. Bhd. (PULSE Group) melancarkan Kafe Grab & Go di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri makanan dan minuman (F&B). 

Ketua Eksekutif Kumpulan, Ir. Abdul Rahim Md. Junoh berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang kumpulan untuk menjadikan jenama kafe tersebut lebih berdaya saing.

“Fokus kita sekarang adalah untuk mengembangkan lagi cawangan F&B. Kita mahu bermula secara kecil-kecilan dahulu sebelum berkembang. 

“Untuk permulaan, kita akan tawarkan kafe di tempat-tempat yang memerlukan kepakaran kita dan mungkin juga di luar kawasan Putrajaya,” katanya ketika ditemui di PICC sempena pelancaran kafe tersebut, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 5,000 pelanggan sebulan di kafe tersebut, didorong sambutan pelbagai jenis acara khususnya acara berskala besar yang dijalankan di PICC. 

“Strategi pemasaran kita adalah  menyasarkan pelanggan dari sektor kerajaan yang berada disekitarnya, warga komuniti Putrajaya serta kumpulan pelancong domestik dan antarabangsa yang dibawa oleh ejen-ejen pelancongan yang berkolaborasi dengan PULSE Group,” katanya. 

Tambahnya, Kafe Grab & Go merupakan cawangan pertama menampilkan konsep kontemporari dengan pelbagai pilihan hidangan Asia, Barat dan fusion serta salad bagi memenuhi cita rasa pelanggan moden.

“Cawangan kita di sini dikendalikan oleh lima cef berpengalaman bersama pembantu, dengan keseluruhan staf seramai lima orang,” katanya.

Dalam pada itu, PULSE Group merancang membuka cawangan baharu di Putrajaya menjelang 2026 dan pemasangan mesin layan diri GGS serta menawarkan pakej perkahwinan. 

“Dalam masa terdekat, kita akan buka kios Grab & Go di Terminal Cruise Tasik Putrajaya. Bagi tahun 2026 pula, kita sedang memuktamadkan perancangan bersama Perbadanan Putrajaya untuk mengoperasikan kafe di Kelab Tasik Putrajaya. 

 “Selain itu, kita mungkin akan tawarkan pakej perkahwinan kerana kita ada lokasi dan makanan. Trend perkahwinan kini lebih sederhana dengan jumlah jemputan sekitar 300 orang. 

“Kita nampak ada potensi yang dapat dikembangkan dan kita yakin mampu penuhi permintaan pasaran,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN