PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, memperkukuh keupayaan pengendalian kontena mereka dengan ketibaan dua buah Kren Dermaga Kontena Post Panamax dengan pelaburan berjumlah RM71.2 juta.
Pelaburan strategik itu menggariskan komitmen Johor Port untuk terus meningkatkan kecekapan dan daya saingnya sebagai sebuah Pelabuhan Pelbagai Guna yang unggul di rantau ini.
Dikeluarkan oleh Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co. Ltd (ZPMC), kren-kren baharu itu direka cipta untuk mengendalikan jumlah muatan kontena di pelabuhan yang semakin meningkat dengan kelajuan dan ketepatan yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, ketibaan dua buah kren dermaga baharu mencerminkan visi jangka panjang Johor Port untuk melabur dalam infrastruktur moden bagi menyokong keperluan perdagangan global yang sentiasa berubah.
“Kami juga akan memperoleh dua buah lagi kren dermaga baru yang disasarkan untuk beroperasi pada 2027.
“Selain itu, kami baru-baru ini telah membeli empat buah kren level luffing baru pada Jun tahun ini bernilai RM72.3 juta untuk dipasang di Terminal Konvensional kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pelaburan dalam kren dermaga dan kren level luffing baharu itu menggariskan komitmen tidak berbelah bahagi Johor Port terhadap pihak-pihak berkepentingannya dan merupakan sebahagian daripada Pelan Peningkatan CAPEX 5 Tahun.
“la bertujuan untuk meningkatkan lagi kegiatan pelabuhan serta menjadi satu Langkah penting dalam usaha pemodenan Johor Port agar dapat terus menyumbang kepada nilai yang lebih besar kepada para pelanggan kami.
“Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor Port sebagai Pelabuhan Pelbagai Guna Gerbang Selatan Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Pengusaha Lori Kontena Malaysia, Dzulfariqh berkata, persatuan itu menghargai usaha Johor Port meningkatkan tahap produktiviti dengan melabur dalam peralatan pelabuhan yang baru.
“Kren-kren baru ini, bersama-sama dengan inisiatif pemodenan Johor Port, akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dermaga pelabuhan serta mengurangkan masa pusing ganti kapal dan lori. la dapat memberikan pengalaman pengendalian kargo yang lebih lancar dan cekap,” katanya.
Perolehan kren dermaga itu bermula pada 6 Mei 2024 dengan semua pencapaian utama disempurnakan termasuk pemasangan komponen utama dan Ujian Penerimaan Kilang.
Penghantaran berjaya disempurnakan pada 6 September 2025 dan kren-kren tersebut akan menjalani Ujian Penerimaan Tapak selama 45 hari sebelum ditauliahkan sepenuhnya untuk beroperasi bagi memastikan integrasi yang lancar ke dalam Terminal Kontena Johor Port.
Dalam pada itu, sebagai persediaan ketibaan kren dermaga baru, Johor Port telah menjalankan kerja-kerja pemindahan kren dermaga yang lama secara terancang, yang bermula pada 25 Ogos 2025.
Walaupun perlu melaksanakan aktiviti pemindahan kren semasa salah satu bulan paling sibuk di Pelabuhan, Johor Port berjaya mengendalikan 103,159 TEUs pada Ogos 2025, mencapai jumlah muatan kontena bulanan tertinggi dalam sejarahnya dan mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 102,324 TEUs yang dicapai pada Ogos 2024.-UTUSAN