Industri semikonduktor berwaspada, tarif AS masih tanda tanya

Industri semikonduktor berwaspada, tarif AS masih tanda tanya

TRUMP memberi bayangan untuk mengenakan tarif ‘agak besar’ ke atas import semikonduktor tidak lama lagi, namun menyatakan pengecualian mungkin diberikan kepada syarikat yang memindahkan pengeluaran ke AS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri semikonduktor Malaysia kini berada dalam keadaan menunggu dan berjaga-jaga berhubung kemungkinan pengenaan tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Presidennya, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, setakat ini pengecualian tarif terhadap produk semikonduktor masih berkuat kuasa, namun keadaan boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada keputusan presiden tersebut.

“Kami semua sedang menunggu keputusan Presiden Trump. Buat masa ini, bagi semikonduktor, ia masih dikecualikan, tiada tarif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tindakan Trump yang sering mengubah pendirian mengenai dasar perdagangan menyukarkan syarikat untuk membuat perancangan jangka panjang.

“Matlamat syarikat ialah kekal berdaya saing dan memenuhi keperluan pelanggan, tetapi ketidaktentuan dasar seperti ini memberi tekanan kepada perniagaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kemungkinan pengenaan tarif terhadap industri semikonduktor masih boleh dielakkan atau dikurangkan.

Katanya, ini boleh dilakukan melalui diplomasi perdagangan, kerjasama antarabangsa serta kesedaran global mengenai kepentingan rantai bekalan cip dunia.

Katanya, walaupun wujud ketegangan geopolitik, keperluan pasaran terhadap bekalan cip yang stabil dan berterusan dijangka mendorong negara-negara utama untuk memilih pendekatan lebih kolaboratif berbanding proteksionis kerana sektor ini bersifat saling bergantung dan tidak boleh dipisahkan secara geografi.

“Sekiranya tarif benar-benar dilaksanakan, kesannya terhadap industri semikonduktor Malaysia mungkin mencabar namun masih terkawal. 

“Kos pengeluaran dan logistik mungkin meningkat sedikit, pelaburan baharu mungkin lebih berhati-hati dan daya saing jangka pendek berkemungkinan terjejas.

“Bagaimanapun, Malaysia yang sudah lama menjadi hab penting dalam rantai nilai global memiliki ketahanan struktur, tenaga kerja mahir dan infrastruktur sedia ada yang mampu menjadi pelindung. 

“Pekerjaan dijangka tidak terjejas secara ketara kerana permintaan global terhadap semikonduktor kekal tinggi. Malah, negara boleh memanfaatkan keadaan ini untuk meningkatkan nilai tambah dan mempelbagaikan pasaran,” jelasnya.

Idham turut mencadangkan agar kerajaan dan industri memperkukuhkan rantaian bekalan tempatan melalui penyertaan vendor, meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta automasi, selain memperluaskan rangkaian pasaran ke rantau yang kurang terkesan dengan tarif.

“Pada masa sama, usaha diplomasi ekonomi perlu dipertingkatkan untuk mengekalkan akses pasaran,” ujarnya.

Baru-baru ini, Trump memberi bayangan untuk mengenakan tarif ‘agak besar’ ke atas import semikonduktor tidak lama lagi, namun menyatakan pengecualian mungkin diberikan kepada syarikat yang memindahkan pengeluaran ke AS atau merancang untuk melabur dalam kemudahan pembuatan domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN