INDUSTRI perkapalan negara berdepan cabaran peningkatan kos operasi dan persaingan sengit di peringkat global yang menuntut strategi lebih berkesan daripada pemain industri.
Industri maritim Malaysia memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dengan hampir 40 peratus perdagangan digerakkan melalui kargo laut, selain menyumbang lebih 200,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung sepanjang rantaian nilai.
Pelabuhan Klang kini berada dalam kelompok 10 pelabuhan paling sibuk dunia apabila berjaya mengendalikan lebih 14.6 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2024, meningkat daripada 14 juta TEU pada 2023, sekali gus mengatasi Hong Kong.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Izyan Munirah Mohd. Zaideen berkata, cabaran utama adalah memastikan pertumbuhan positif dapat dikekalkan dan berdaya saing dengan pelabuhan jiran.
“Singapura mengendalikan lebih 39 juta TEU pada tahun sama, hampir tiga kali ganda kapasiti Pelabuhan Klang. Selain persaingan serantau, kos operasi turut memberi tekanan besar kepada syarikat perkapalan.
“Bahan api merangkumi 40 hingga 60 peratus daripada keseluruhan kos operasi kapal. Selepas penguatkuasaan peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) 2020 yang mewajibkan penggunaan minyak bahan api rendah sulfur (LSFO), kos bahan api melonjak sehingga 30 peratus berbanding penggunaan minyak bahan api berat (HFO).
“Keadaan ini menekan syarikat perkapalan Malaysia yang beroperasi dalam pasaran bunkering dikuasai Singapura, sekali gus menawarkan kelebihan harga dan skala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut berada dalam 15 pelabuhan tersibuk dunia, mencerminkan kekuatan sektor maritim negara.
Bagaimanapun katanya, transformasi digital perlu dipercepatkan termasuk melalui pelaksanaan Tetingkap Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) pada Jun 2024 yang dijangka meningkatkan keberkesanan operasi pelabuhan dan perkapalan negara.
“Tahap automasi pelabuhan Malaysia masih sederhana berbanding Singapura yang telah mengoperasikan Pelabuhan Tuas, sebuah pelabuhan pintar berasaskan automasi penuh dan kecerdasan buatan dengan kapasiti 65 juta TEU menjelang 2040.
“Malaysia tidak boleh hanya berperanan sebagai alternatif kepada Singapura, sebaliknya perlu mempercepat agenda digitalisasi dan pembangunan pelabuhan pintar, selain memperkukuh modal insan maritim melalui program peningkatan kemahiran dalam bidang automasi,” ujarnya.
Izyan Munirah berkata, penyahkarbonan turut menjadi cabaran baharu apabila IMO menetapkan sasaran pengurangan emisi gas rumah kaca sebanyak 50 peratus menjelang 2050.
Jelasnya, Malaysia perlu segera menyediakan infrastruktur pengisian bahan api hijau (green bunkering) bagi mengelakkan kapal antarabangsa mengabaikan pelabuhan tempatan dan memilih Singapura yang lebih awal melaksanakan infrastruktur itu.
Mengulas kedudukan strategik negara, beliau berkata, Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk dunia dengan lebih 20 peratus perdagangan maritim global melaluinya.
“Namun, Malaysia masih belum berjaya memaksimumkan nilai tambah daripada kelebihan geografi ini berbanding Singapura yang jauh mendahului dalam aspek automasi, pendigitalan dan strategi hijau.
“Jika Malaysia ingin kekal relevan dalam landskap maritim global, pelaburan perlu dibuat dalam meningkatkan teknologi pelabuhan, insentif untuk perkapalan hijau serta integrasi logistik darat laut yang lebih efisien.
“Kelewatan dalam mengadaptasi teknologi hijau dan digital boleh menyebabkan kapal antarabangsa mengelak singgah di pelabuhan Malaysia sekiranya negara gagal memenuhi piawaian IMO, sebaliknya memilih Singapura yang sudah menyediakan infrastruktur pengisian bahan api hijau dan automasi berskala besar,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia turut berdepan risiko persaingan baharu sekiranya projek Terusan Kra di Thailand direalisasikan.
“Ini kerana laluan sepanjang 120 kilometer itu dijangka memendekkan pelayaran sehingga tiga hari tanpa melalui Selat Melaka, sekali gus memberi kesan langsung kepada sektor perkapalan, pelabuhan dan ekonomi maritim negara,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hala tuju strategik jangka panjang, beliau berkata, Pelan Induk Perkapalan Malaysia 2017-2022 sebelum ini berjaya menetapkan hala tuju industri, namun tiada pelan pengganti diumumkan selepas tamat tempoh pada 2022.
“Tanpa rangka kerja baharu, hala tuju industri maritim negara menjadi kabur. Malaysia berisiko ketinggalan berbanding negara jiran yang sudah lama bergerak dengan visi jangka panjang,” ujarnya.
“Industri maritim tidak boleh lagi dianggap sebagai sektor sokongan, sebaliknya perlu diangkat sebagai teras survival negara melalui pembangunan infrastruktur pelabuhan, perkapalan, modal insan dan sokongan kewangan,” katanya. – UTUSAN










