NEW YORK: Harga emas melonjak ke rekod tertinggi baharu melebihi AS$3,500/auns (RM14,808) pada Selasa, apabila peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bakal mengurangkan kadar faedah bulan ini.
Emas spot meningkat untuk melepasi paras AS$3,508 (RM14,830) dalam dagangan New York, mengatasi kemuncak dagangan harian pada April lalu.
Logam berharga itu naik kira-kira satu pertiga tahun ini, mengatasi kebanyakan aset utama apabila pelabur beralih arah kepada aset selamat dan menjauhi perdagangan yang bersifat sensitif pada kadar faedah.
“Pelabur menambah peruntukan emas mereka, terutamanya apabila jangkaan penurunan kadar Fed semakin ketara, mendorong harga lebih tinggi,” kata Pakar Strategi UBS, Joni Teves kepada Bloomberg News.
“Kes asas kami ialah emas akan terus merekodkan paras tertinggi baharu pada suku akan datang,” ujarnya.
Lonjakan harga emas didorong oleh jangkaan bahawa Pengerusi Fed, Jerome Powell akan melaksanakan penurunan kadar faedah buat kali pertama sejak Disember 2024 pada mesyuarat 16 dan 17 September ini.
Pasaran buruh di AS yang lebih perlahan turut memperkukuhkan jangkaan tersebut.
Laporan prestasi pekerjaan AS seterusnya yang dijadualkan untuk dikeluarkan pada Jumaat akan datang dijangka bakal memberikan petunjuk yang lebih jelas mengenai hala tuju Fed selepas ini.
Perkembangan sama turut menyaksikan harga perak melonjak untuk mencapai AS$40 (RM169) seauns buat kali pertama sejak 2011 untuk mencatatkan keuntungan hampir 40 peratus tahun ke tahun. – AGENSI